Kebangkitan Yesus
(Mat 28.1-10; Mrk 16.1-8; Yoh 20.1-10)
24
1 Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka.
2 Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan.
3 Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus.
4 Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka.
5 Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati?
6 Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea:
7 Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’” +
8 Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus.
9 Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.
10 Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul.
11 Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu.
12 Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.h
Perjalanan ke Emaus
(Mrk 16.12-13)
13 Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem.
14 Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku.
15 Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka.
16 Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia.
17 Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?”
Mereka berhenti dengan muka yang sedih.
18 Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?”
19 “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus.
“Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya.
20 Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia!
21 Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu.
22 Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur,
23 tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup.
24 Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.”
25 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi!
26 Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?”
27 Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi.
28 Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan.
29 Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka.
30 Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka.
31 Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka.
32 Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?”
33 Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain.
34 Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!”
35 Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti.
Yesus Menampakkan Diri kepada Pengikut-Nya
(Mat 28.16-20; Mrk 16.14-18; Yoh 20.19-23; Kis 1.6-8)
36 Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sejahteralah kamu!”i
37 Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu.
38 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu?
39 Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.”
40 Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.j
41 Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?”
42 Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya.
43 Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka.
44 Kemudian Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur mesti berlaku.”
45 Kemudian Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.
46 Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga.
47 Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem.
48 Kamulah saksi semua perkara ini.
49 Aku akan mengirim apa yang telah dijanjikan oleh Bapa kepada kamu. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kuasa daripada Allah turun kepada kamu.” +
Yesus Diangkat ke Syurga
(Mrk 16.19-20; Kis 1.9-11)
50 Kemudian Yesus membawa mereka ke luar kota sehingga ke Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.
51 Sementara Yesus memberkati mereka, Dia terangkat ke syurga,k lalu meninggalkan mereka. +
52 Mereka sujud menyembah Dia, lalu balik ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan.
53 Mereka sentiasa di Rumah Tuhan dan memuji Allah.
+ 24:7 Mat 16.21, 17.22-23, 20.18-19; Mrk 8.31, 9.31, 10.33-34; Luk 9.22, 18.31-33
h 24:12 Dalam beberapa buah naskhah tidak terdapat ayat 12.
i 24:36 Dalam beberapa buah naskhah tidak terdapat: dan berkata, “Sejahteralah kamu!”
j 24:40 Dalam beberapa buah naskhah tidak terdapat ayat 40.
+ 24:49 Kis 1.4
k 24:51 Dalam beberapa buah naskhah tidak terdapat: terangkat ke syurga.
+ 24:51 Kis 1.9-11