Yesus Dicubai oleh Iblis
(Mat 4.1-11; Mrk 1.12-13)
4
1 Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun.
2 Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar.
3 Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.”
4 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’” +
5 Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya.
6 “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka.
7 Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku. ”
8 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’” +
9 Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah,
10 kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ +
11 Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’” +
12 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’” +
13 Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.
Yesus Memulakan Pelayanan-Nya di Galilea
(Mat 4.12-17; Mrk 1.14-15)
14 Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.
15 Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang.
Yesus Tidak Diterima di Nasaret
(Mat 13.53-58; Mrk 6.1-6)
16 Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab,
17 lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis,
18 “Roh Tuhan ada pada-Ku.
Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan
Berita Baik kepada orang miskin.
Dia mengutus Aku supaya mengumumkan
pembebasan kepada orang tawanan,
kesembuhan bagi orang buta;
dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,
19 serta mengisytiharkan masanya
Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” +
20 Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk.e Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus.
21 Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya. ”
22 Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?”
23 Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’”
24 Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. +
25 Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. +
26 Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. +
27 Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” +
28 Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu.
29 Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang.
30 Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
Orang yang Dirasuk Roh Jahat
(Mrk 1.21-28)
31 Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32 Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa. +
33 Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,
34 “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35 Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36 Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!”
37 Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.
Yesus Menyembuhkan Banyak Orang
(Mat 8.14-17; Mrk 1.29-34)
38 Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus.
39 Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka.
40 Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua.
41 Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, “Engkau Anak Allah!”
Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, “Diam!” Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah.
Yesus Berkhutbah di Rumah Ibadat
(Mrk 1.35-39)
42 Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu.
43 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintahD harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.”
44 Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.
+ 4:4 Ul 8.3
+ 4:8 Ul 6.13
+ 4:10 Mzm 91.11
+ 4:11 Mzm 91.12
+ 4:12 Ul 6.16
+ 4:19 Yes 61.1-2
e 4:20 duduk: Pada zaman itu orang Yahudi duduk jika hendak mengajar.
+ 4:24 Yoh 4.44
+ 4:25 1 Raj 17.1
+ 4:26 1 Raj 17.8-16
+ 4:27 2 Raj 5.1-14
+ 4:32 Mat 7.28-29
D 4:43 Allah memerintah; Harfiah: Kerajaan Allah.