Doa Mohon Belas Kasihan
5
1 Ingatlah, ya TUHAN, akan apa yang telah berlaku kepada kami.
Pandanglah kami, lihatlah kehinaan kami.
2 Harta warisan kami telah dirampas orang lain;
orang asing sedang menduduki rumah kami.
3 Bapa kami dibunuh oleh musuh,
dan kini ibu kami menjadi balu.
4 Kami terpaksa membeli air minum
dan kayu untuk bahan api.
5 Kami dipaksa bekerja berat seperti binatang;
kami lelah, namun tidak diberikan masa rehat.
6 Kami mengemis di Mesir dan Asyur,
kami meminta makanan untuk terus hidup.
7 Nenek moyang kami berdosa, dan kini sudah tiada;
tetapi kami mesti menderita, kerana dosa-dosa mereka.
8 Kami diperintah oleh orang yang sama seperti hamba,
dan tiada orang yang berkuasa melepaskan kami daripada mereka.
9 Pembunuh merayau-rayau di luar kota,
nyawa kami terancam ketika mencari makanan.
10 Kami demam kerana kelaparan,
badan kami panas seperti ketuhar.
11 Isteri kami diperkosa di Bukit Sion,
gadis-gadis kami dicabuli di setiap kota di Yehuda.
12 Para pemimpin kami ditangkap dan digantung,
orang tua kami tidak dihormati lagi.
13 Pemuda kami dipaksa mengisar gandum seperti abdi,
anak lelaki tertindih pikulan kayu sehingga terhuyung-hayang.
14 Orang tua tidak lagi berkumpul di pintu gerbang kota,
kaum pemuda tidak lagi bermain muzik.
15 Kegembiraan sudah lenyap dalam kehidupan kami,
tarian telah berubah menjadi perkabungan.
16 Hal yang kami bangga-banggakan sudah tiada.
Kini kami dihukum kerana berdosa.
17 Kami berasa amat sedih, air mata kami bercucuran
sehingga penglihatan kami kabur,
18 kerana Bukit Sion lengang dan terbiar,
anjing hutan berkeliaran di runtuhannya.
19 Tetapi Engkau, ya TUHAN,
raja selama-lamanya,
Engkau memerintah sepanjang masa.
20 Mengapakah Engkau meninggalkan kami sedemikian lama?
Tidakkah Engkau mahu mengingat kami lagi?
21 Ya TUHAN, bawalah kami kembali kepada-Mu; bawalah kami balik kepada-Mu!
Pulihkanlah kegemilangan kami seperti dahulu.
22 Adakah Engkau membuang kami sama sekali?
Tidak terbataskah kemurkaan-Mu terhadap kami?