Binatang yang Halal dan Haram
(Ul 14.3-21)
11
1 TUHAN memberi Musa dan Harun peraturan-peraturan berikut
2 bagi umat Israel. Kamu boleh makan binatang darat apa sahaja
3 yang berkuku belah dan yang memamah biak.
4-6 Tetapi kamu tidak boleh makan unta, landak batu, atau arnab. Binatang ini mesti dianggap haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah.
7 Jangan makan babi. Babi mesti dianggap haram kerana walaupun berkuku belah, tetapi tidak memamah biak.
8 Jangan makan binatang-binatang itu, dan jangan sentuh bangkainya; binatang-binatang itu haram.
9 Kamu boleh makan semua jenis ikan yang mempunyai sirip dan sisik,
10 tetapi apa sahaja binatang yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik, tidak boleh dimakan.
11 Binatang seperti itu mesti dianggap haram. Kamu tidak boleh memakannya ataupun menyentuh bangkainya.
12 Kamu tidak boleh makan binatang apa sahaja yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik.
13-19 Burung-burung yang berikut tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hantu, semua jenis burung helang, burung nasar, burung gagak, burung unta, burung camar, burung ranggung, burung pucung, dan semua jenis burung bangau, burung undan, burung kosa, dan kelawar.
20 Semua serangga yang bersayap adalah haram,
21 kecuali serangga yang dapat melompat.
22 Kamu boleh makan belalang juta, jengkerik, dan belalang.
23 Tetapi semua serangga lain yang bersayap dan juga yang merayap mesti dianggap haram.
24-28 Seseorang yang menyentuh bangkai binatang yang berikut akan menjadi najis sehingga matahari terbenam: semua binatang yang berkuku, kecuali yang berkuku belah dan yang memamah biak, dan semua binatang yang berkaki empat dan yang mempunyai cakar. Sesiapa yang membawa bangkai binatang jenis ini mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam.
29-30 Tikus mondok, tikus, cicak, biawak, dan semua jenis bengkarung mesti dianggap haram.
31 Seseorang yang menyentuh binatang itu atau bangkainya, akan menjadi najis sehingga matahari terbenam.
32 Jika bangkai binatang itu jatuh ke atas benda apa sahaja, benda itu pun menjadi najis; sama ada benda itu daripada kayu, kain, kulit, atau karung, tidak kira apa pun kegunaan benda-benda itu. Benda-benda itu harus dicelup ke dalam air, tetapi benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam.
33 Jika bangkai itu jatuh ke dalam belanga, segala yang ada di dalamnya menjadi najis, dan belanga itu mesti dipecah.
34 Makanan apa sahaja yang biasanya boleh dimakan akan menjadi najis, jika kena air dari belanga itu, dan minuman yang di dalam belanga itu juga menjadi najis.
35 Apa sahaja yang dijatuhi bangkai itu menjadi najis. Jika benda itu ketuhar tanah atau dapur arang, benda itu harus dipecah.
36 Tetapi mata air dan perigi tidak menjadi najis, walaupun segala yang lain menjadi najis apabila terkena bangkai itu.
37 Jika salah satu bangkai itu terjatuh ke atas benih yang akan ditanam, benih itu tidak menjadi najis.
38 Tetapi jika benih itu sedang direndam di dalam air lalu salah satu bangkai itu terjatuh ke atasnya, benih itu menjadi najis.
39 Sesiapa menyentuh bangkai binatang yang halal akan menjadi najis sehingga matahari terbenam.
40 Sesiapa yang makan bahagian apa pun daripada bangkai binatang itu, mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa membawa bangkai itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam.
41 Kamu tidak boleh makan binatang kecil yang bergerak di atas tanah,
42 baik binatang yang menjalar, yang berjalan dengan empat kaki, ataupun yang mempunyai banyak kaki.
43 Jangan najiskan diri kamu dengan memakan salah satu binatang itu.
44 Akulah TUHAN, Allah kamu; berhati-hatilah agar kamu tetap suci, kerana Aku suci. +
45 Akulah TUHAN yang membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Allah kamu. Hendaklah kamu suci kerana Aku suci.
46 Demikianlah peraturan-peraturan tentang binatang, burung, segala sesuatu yang hidup di dalam air, dan yang bergerak di atas tanah.
47 Berhati-hatilah membezakan apa yang halal dengan apa yang haram, binatang yang boleh dimakan dengan binatang yang tidak boleh dimakan.
+ 11:44 Im 19.2; 1 Ptr 1.16