Upacara Penyucian setelah Sembuh daripada Penyakit Kulit yang Mengerikan
14
1 TUHAN memberi Musa
2 peraturan-peraturan berikut tentang upacara penyucian bagi seseorang yang sudah sembuh daripada penyakit kulit yang mengerikan. Pada hari orang itu diumumkan tahir, dia harus dibawa kepada imam. +
3 Kemudian imam akan pergi ke luar perkhemahan lalu memeriksa orang itu. Jika penyakit itu sudah sembuh,
4 imam akan menyuruh orang membawa dua ekor burung yang halal dan yang hidup, sepotong kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop.
5 Kemudian imam akan menyuruh orang supaya menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air.
6 Dia akan mengambil burung yang seekor lagi lalu mencelupkannya ke dalam darah burung yang sudah disembelih itu, bersama-sama kayu sedar, tali merah, dan hisop itu.
7 Imam akan memercikkan darah itu tujuh kali pada orang yang hendak disucikan daripada penyakit kulit yang mengerikan, lalu dia akan mengumumkan bahawa orang itu tahir. Kemudian imam akan melepaskan burung yang hidup itu ke padang.
8 Orang yang sudah diumumkan tahir itu harus mencuci pakaiannya, mencukur semua rambutnya, dan mandi; lalu dia akan tahir. Dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi dia mesti tinggal di luar khemahnya selama tujuh hari.
9 Pada hari ketujuh, sekali lagi dia harus mencukur rambutnya, janggutnya, bulu keningnya, dan semua bulu roma yang ada pada badannya. Kemudian dia harus mencuci pakaiannya dan mandi, lalu dia akan tahir.
10 Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor anak domba jantan dan seekor anak domba betina yang berumur satu tahun, yang semuanya tidak ada cacat, dan juga tiga kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun serta sepertiga liter minyak zaitun.
11 Imam akan membawa orang itu dan semua persembahan itu ke pintu Khemah TUHAN.
12 Kemudian imam akan mempersembahkan seekor daripada anak domba jantan itu dan sepertiga liter minyak zaitun itu sebagai korban untuk membayar ganti rugi. Dia akan mempersembahkan korban ini sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN.
13 Imam harus menyembelih anak domba itu di tempat yang suci, tempat orang menyembelih binatang bagi korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam mesti melakukan perkara ini kerana korban untuk membayar ganti rugi serta korban untuk mengampunkan dosa sangat suci, dan menjadi milik imam.
14 Imam akan mengambil sedikit darah anak domba itu lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang yang akan dinyatakan tahir.
15 Kemudian imam akan mengambil sedikit daripada minyak zaitun dan menuangkan minyak itu pada telapak tangan kirinya,
16 lalu mencelupkan jari tangan kanannya di dalam minyak itu dan memercikkannya tujuh kali di dalam Khemah TUHAN.
17 Imam harus mengambil sedikit minyak yang di telapak tangannya itu dan sedikit daripada darah anak domba, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang yang akan dinyatakan tahir.
18 Kemudian imam harus melumurkan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian.
19 Kemudian imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa dan melakukan upacara penyucian. Selepas itu dia harus menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN,
20 dan mempersembahkannya bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, di atas mazbah. Dengan cara ini, imam melakukan upacara penyucian, lalu orang itu tahir.
21 Jika orang itu miskin dan tidak mampu memberikan persembahan yang ditetapkan, bagi penyuciannya dia boleh mempersembahkan hanya seekor anak domba jantan bagi korban untuk membayar ganti rugi, iaitu korban istimewa bagi TUHAN. Biarlah orang itu membawa hanya satu kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun, dan sepertiga liter minyak zaitun bagi korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN.
22 Dia juga harus membawa dua ekor burung merpati atau burung tekukur, seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
23 Pada hari kelapan masa penyucian orang itu, dia harus membawa semua persembahan itu kepada imam di pintu Khemah TUHAN.
24 Imam akan mengambil anak domba dan minyak zaitun itu lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN, dan bahagian ini menjadi milik imam itu.
25 Dia akan menyembelih anak domba itu dan mengambil sedikit darahnya, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang itu.
26 Imam akan menuangkan sedikit minyak itu ke atas telapak tangan kirinya sendiri,
27 lalu dengan jari tangan kanannya dia memercikkan minyak itu tujuh kali di dalam Khemah TUHAN.
28 Imam harus menyapukan sedikit minyak itu pada tempat-tempat dia menyapukan darah itu: pada cuping telinga kanan orang itu, pada ibu jari tangan kanannya, dan pada ibu jari kaki kanannya.
29 Imam harus menyapukan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu untuk upacara penyucian dirinya di hadapan TUHAN.
30 Kemudian imam harus mempersembahkan seekor daripada dua ekor burung merpati atau burung tekukur itu
31 sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian orang itu di hadapan TUHAN.
32 Inilah peraturan bagi orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, tetapi tidak mampu membayar persembahan yang sudah ditetapkan bagi upacara penyuciannya.
Kulapuk di dalam Rumah
33 TUHAN memberi Musa dan Harun
34-35 peraturan-peraturan berikut tentang rumah yang kena kulapuk yang merebak. Peraturan ini mesti dipatuhi sesudah umat Israel masuk ke negeri Kanaan, yang akan diberikan TUHAN kepada mereka sebagai milik mereka. Sesiapa yang mendapati bahawa TUHAN sudah mendatangkan kulapuk di dalam rumahnya, harus memberitahukan hal itu kepada imam.
36 Imam akan member1 arahan supaya segala yang ada di dalam rumah itu dikeluarkan sebelum dia memeriksa kulapuk itu. Jika tidak, segala yang ada di dalam rumah itu akan diumumkan sebagai najis. Selepas itu imam akan pergi ke rumah itu
37 dan memeriksa kulapuk di situ. Jika imam mendapati bintik-bintik yang kehijau-hijauan atau kemerah-merahan yang kelihatannya meresap pada tembok itu,
38 dia harus keluar dari rumah itu lalu menguncinya selama tujuh hari.
39 Pada hari ketujuh, imam akan kembali untuk memeriksa kulapuk itu. Jika kulapuk itu merebak,
40 dia harus memberikan arahan supaya batu-batu yang kena kulapuk itu ditanggalkan lalu dibuang di tempat yang najis di luar kota.
41 Setelah itu seluruh tembok rumah itu mesti dikikis, lalu kikisannya dibuang ke tempat yang najis di luar kota.
42 Batu-batu baru harus digunakan untuk menggantikan batu-batu yang sudah dibuang. Seluruh tembok rumah itu harus dilapis dengan lepa baru.
43 Jika kulapuk itu muncul semula di dalam rumah selepas batu-batu itu sudah diganti, dan temboknya sudah dikikis serta dilepa semula,
44 imam harus pergi memeriksanya. Jika kulapuk itu merebak, rumah itu najis.
45 Rumah itu mesti dirobohkan, lalu batu-batunya, kayunya dan semua lepanya mesti dibawa ke luar kota, ke tempat yang najis.
46 Sesiapa yang masuk ke dalam rumah itu ketika masih terkunci akan najis sehingga matahari terbenam.
47 Sesiapa yang tidur atau makan di dalam rumah itu mesti mencuci pakaiannya.
48 Tetapi apabila imam datang untuk memeriksa rumah itu, dan menurut pemeriksaannya kulapuk tidak terdapat lagi di dalam rumah yang sudah dilepa semula itu, imam harus mengumumkan bahawa rumah itu tahir kerana semua kulapuk sudah hilang.
49 Untuk menyucikan rumah itu, imam harus membawa dua ekor burung, kayu sedar, seutas tali merah, dan setangkai hisop.
50 Imam harus menyembelih seekor daripada burung itu di atas belanga yang berisi air bersih dari mata air.
51 Kemudian imam harus mengambil kayu sedar, hisop, tali merah, dan burung yang hidup itu, lalu mencelupkan semuanya ke dalam darah burung yang sudah disembelih dan juga ke dalam air bersih itu; lalu dia harus memerciki rumah itu tujuh kali.
52 Dengan cara ini imam menyucikan rumah itu dengan darah burung, air bersih, burung yang hidup, kayu sedar, hisop, dan tali merah itu.
53 Kemudian dia harus melepaskan burung yang hidup itu di luar kota, ke padang yang terbuka. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian untuk rumah itu, maka rumah itu tahir.
54 Inilah peraturan-peraturan tentang penyakit kulit yang mengerikan;
55-56 kudis, bisul, atau radang; dan juga tentang kulapuk pada pakaian atau rumah.
57 Peraturan-peraturan ini menentukan sama ada sesuatu benda itu najis atau tahir.
+ 14:2 Mat 8.4; Mrk 1.44; Luk 5.14, 17.14