6
1 TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa.
2-3 Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN.
4-5 Orang yang berdosa itu harus membayar segala yang telah diperolehnya dengan cara yang tidak jujur. Pada hari dia didapati bersalah, dia harus membayar harga sepenuhnya kepada si pemilik, ditambah pula dengan dua puluh peratus.
6 Orang yang bersalah itu harus membawa seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada cacat kepada imam sebagai korban untuk membayar ganti rugi kepada TUHAN. Harganya harus dinilai menurut apa yang ditetapkan di Khemah TUHAN.
7 Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. +
Korban untuk Menyenangkan Hati TUHAN
8 TUHAN memerintah Musa
9 supaya memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu harus ditinggalkan di atas mazbah sepanjang malam, dan apinya harus menyala terus.
10 Kemudian imam yang berpakaian jubah linen dan celana pendek daripada linen, harus mengambil abu berlemak yang tertinggal di mazbah lalu menaruhnya di tepi mazbah itu.
11 Selepas itu imam harus menukar pakaiannya lalu membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke tempat yang dikhaskan untuk abu itu.
12 Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN.
13 Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam.
Korban untuk Mengucap Syukur kepada TUHAN
14 Inilah peraturan tentang korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Seorang imam keturunan Harun harus mempersembahkan korban itu di hadapan mazbah.
15 Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.
16-17 Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi.
18 Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya.
19 TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa
20 bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang.
21 Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.
22 Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN.
23 Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar.
Korban untuk Mengampunkan Dosa
24 TUHAN memerintah Musa
25 untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci.
26 Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN.
27 Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas.
28 Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air.
29 Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci.
30 Tetapi jika ada darah binatang itu yang dibawa masuk ke dalam Khemah TUHAN lalu digunakan untuk upacara pengampunan dosa, daging binatang itu tidak boleh dimakan; binatang itu mesti dibakar.
+ 6:7 Bil 5.5-8