Mikha Menyalahkan Para Pemimpin Israel
3
1 Dengarlah, hai para penguasa Israel! Kamu seharusnya mengambil berat tentang keadilan,
2 tetapi kamu membenci kebaikan dan mencintai kejahatan. Kamu menguliti umat-Ku hidup-hidup dan mencarik daging mereka daripada tulang.
3 Kamu menelan umat-Ku. Kamu menguliti mereka dan mematahkan tulang mereka. Kamu mencincang mereka seperti kamu mencincang daging untuk dimasak di dalam belanga.
4 Masanya akan tiba apabila kamu akan berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak akan menjawab. Dia tidak akan mengabulkan doa kamu, kerana kamu telah melakukan kejahatan.
5 Umat-Ku telah ditipu oleh nabi-nabi yang menjanjikan keamanan kepada orang yang memberi mereka wang, tetapi mengancam dan memusuhi orang yang tidak memberikan apa-apa. TUHAN berfirman kepada nabi-nabi itu,
6 “Hai nabi-nabi, akhir hidup kamu hampir tiba. Hari akan menjadi malam bagi kamu. Oleh sebab kamu menyesatkan umat-Ku, kamu tidak akan menerima wahyu atau penglihatan lagi. Kamu tidak dapat meramalkan apa-apa lagi.”
7 Orang yang meramalkan masa depan akan dipermalukan kerana ramalan mereka tidak tepat. Mereka semua akan dihina kerana Allah tidak menjawab mereka.
8 Tetapi bagi diriku, TUHAN memenuhi aku dengan kuasa dan Roh-Nya. Dia memberi aku pengertian tentang keadilan, dan juga keberanian untuk memberitahu umat Israel tentang dosa mereka.
9 Dengarlah kata-kataku, hai para penguasa Israel, kamu yang membenci keadilan dan yang mengubah kebenaran menjadi kesalahan.
10 Kamu membina Yerusalem, kota Allah, berasaskan pembunuhan dan ketidakadilan.
11 Para penguasa kota menjalankan pemerintahan untuk mendapat rasuah, para imam mentafsirkan Taurat untuk mendapat upah, dan para nabi pula menyatakan wahyu untuk mendapat wang; tetapi mereka semua mengatakan bahawa TUHAN menyertai mereka. Mereka berkata, “Bencana tidak akan menimpa kita, kerana TUHAN menyertai kita.”
12 Oleh sebab kejahatan kamu, Sion akan dibajak seperti tanah, Yerusalem dijadikan timbunan runtuhan, dan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi hutan belukar. +
+ 3:12 Yer 26.18