Orang yang Tangannya Lumpuh Sebelah
(Mat 12.9-14; Luk 6.6-11)
3
1 Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah.
2 Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.
3 Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, “Marilah ke depan.”
4 Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, “Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?”
Mereka diam sahaja.
5 Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh.
6 Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.
Orang Ramai di tepi Tasik
7 Yesus dan pengikut-Nya pergi ke Tasik Galilea. Banyak sekali orang dari Galilea mengikut Dia. Banyak juga yang datang dari Yudea,
8 dari Yerusalem, dari kawasan Idumea, dari kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, dan dari sekitar kota Tirus dan Sidon. Orang ramai datang kepada Yesus, kerana mereka mendengar hal-hal yang telah dilakukan-Nya.
9 Orang begitu banyak sehingga Yesus menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu bagi-Nya, supaya Dia tidak terhimpit.
10 Dia telah menyembuhkan banyak orang. Oleh itu semua orang sakit berasak-asak hendak menyentuh Dia. +
11 Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, “Engkaulah Anak Allah!”
12 Dengan tegas Yesus melarang roh jahat mengatakan siapa Dia.
Yesus Memilih Dua Belas Orang Pengikut
(Mat 10.1-4; Luk 6.12-16)
13 Kemudian Yesus pergi ke kawasan berbukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya. Mereka datang,
14 lalu Yesus memilih dua belas orang antara mereka.h Dia berkata kepada mereka, “Aku telah memilih kamu supaya menyertai Aku. Aku juga mengutus kamu untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
15 Kamu akan mendapat kuasa untuk mengusir roh jahat.”
16 Inilah dua belas orang yang dipilih-Nya: Simon (yang juga disebut-Nya Petrus);
17 Yakobus dan saudaranya, Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberikan-Nya nama Boanerges, yang bererti “anak guntur”);
18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon Si Patriot,
19 dan juga Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus.
Yesus dan Beelzebul
(Mat 12.22-32; Luk 11.14-23, 12.10)
20 Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan.
21 Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, “Dia sudah gila!”
22 Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk oleh Beelzebul!
Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.” +
23 Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis?
24 Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh.
25 Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur.
26 Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap.
27 Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya.
28 Ingatlah! Segala dosa yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan.i
29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal.” + (
30 Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”)
Ibu dan Saudara-Saudara Yesus
(Mat 12.46-50; Luk 8.19-21)
31 Kemudian ibu dan saudara-saudara Yesus datang dan menunggu di luar. Mereka menyuruh orang memanggil Yesus.
32 Ketika itu orang ramai sedang duduk di sekeliling Yesus dan mereka berkata kepada-Nya, “Guru, lihatlah! Ibu dan saudara-saudara guru ada di luar. Mereka memanggil guru.”
33 Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?”
34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihatlah, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku!
35 Sesiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”