BERITA BAIK
YANG DISAMPAIKAN OLEH
MATIUS
Kata Pengantar
Kitab Matius mengisahkan Berita Baik bahawa Yesus ialah Penyelamat yang dijanjikan oleh Allah. Melalui Yesus, Allah menepati apa yang telah dijanjikan-Nya kepada umat-Nya di dalam Perjanjian Lama. Walaupun Yesus dilahirkan dan dibesarkan sebagai orang Yahudi, tetapi Berita Baik ini bukanlah untuk orang Yahudi sahaja, melainkan untuk seluruh dunia.
Kitab Matius disusun dengan teratur. Kitab ini bermula dengan kelahiran Yesus, lalu diikuti oleh baptisan dan pencubaan yang dialami-Nya, serta pelayanan-Nya di Galilea. Di sana Dia berkhutbah, mengajar, dan menyembuhkan orang. Setelah itu Kitab Matius mengisahkan perjalanan Yesus dari Galilea ke Yerusalem, peristiwa-peristiwa pada minggu terakhir dalam kehidupan Yesus dan mencapai puncaknya dengan kematian dan kebangkitan-Nya.
Kitab Matius memperlihatkan Yesus sebagai Guru yang agung. Dengan penuh kewibawaan Yesus mentafsirkan Taurat Allah, dan Dia juga mengajar tentang Pemerintahan Allah. Kebanyakan ajaran Yesus dapat dikelompokkan kepada lima bahagian menurut tajuknya: (1) Khutbah di Bukit yang melibatkan sikap, kewajipan, hak istimewa, dan tujuan hidup orang yang menikmati Pemerintahan Allah (fasal 5-7); (2) petunjuk kepada dua belas orang pengikut Yesus untuk melaksanakan tugas mereka (fasal 10); (3) perumpamaan tentang Pemerintahan Allah (fasal 13); (4) makna sebenar menjadi pengikut Yesus (fasal 18); dan (5) ajaran tentang akhir zaman dan kedatangan Anak Manusia (fasal 24-25).
Kandungan
Senarai Nenek Moyang Yesus Kristus dan Kelahiran-Nya 1.1—2.23
Pelayanan Yohanes Pembaptis 3.1-12
Baptisan dan Cubaan yang Dialami oleh Yesus 3.13—4.11
Pelayanan Yesus di kalangan Orang Galilea 4.12—18.35
Dari Galilea ke Yerusalem 19.1—20.34
Minggu Terakhir di Yerusalem dan Sekitarnya 21.1—27.66
Kebangkitan Yesus dan Penampakan Diri-Nya 28.1-20
Senarai Nenek Moyang Yesus Kristus
(Luk 3.23-38)
1
1 Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham.
2-6a Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut:
Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab), Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud.
6b-11 Daripada Daud hingga ke masa bangsa Israel dibuang ke Babel, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut:
Salomo (ibunya ialah bekas isteri Uria), Rehabeam, Abia, Asa, Yosafat, Yoram, Uzia, Yotam, Ahas, Hizkia, Manasye, Amon, Yosia, Yoyakhina dan saudara-saudaranya. +
12-16 Dari masa pembuangan di Babel sehingga kelahiran Yesus, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut:
Yoyakhin, Sealtiel, Zerubabel, Abihud, Elyakim, Azur, Zadok, Akhim, Eliud, Eleazar, Matan, Yakub, Yusuf, suami Maria. Marialah yang melahirkan Yesus, yang disebut Kristus.
17 Demikianlah ada empat belas generasi dari zaman Abraham sehingga zaman Daud, dan ada empat belas generasi dari zaman Daud sehingga masa pembuangan di Babel, dan empat belas generasi dari masa itu sehingga kelahiran Kristus.
Kelahiran Yesus Kristus
(Luk 2.1-7)
18 Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah.A +
19 Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam.
20 Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah.
21 Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” +
22 Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya,
23 “Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.” (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, “Allah menyertai kita”). +
24 Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria.
25 Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus. +