Perumpamaan tentang Sepuluh Orang Gadis
25
1 “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki. +
2 Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak.
3 Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan.
4 Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak.
5 Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur.
6 Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, ‘Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!’
7 Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita.
8 Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.’
9 ‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’
10 Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup.
11 Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’
12 Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’” +
13 Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, “Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.”
Perumpamaan tentang Tiga Orang Hamba
(Luk 19.11-27)
14 “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka.
15 Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat.n
16 Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas.
17 Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas.
18 Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya.
19 Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya.
20 Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’
21 ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’
22 Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’
23 ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’
24 Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih.
25 Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’
26 ‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih?
27 Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’
28 Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas.
29 Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. +
30 Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’” + +
Pengadilan pada Hari Kiamat
31 “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. +
32 Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing.
33 Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya.
34 Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya.
35 Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu.
36 Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.’
37 Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allaho berkata, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum?
38 Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian?
39 Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?’
40 Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!’
41 Kemudian Raja itu akan berkata kepada kumpulan orang di sebelah kiri-Nya, ‘Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya!
42 Ketika Aku lapar, kamu tidak memberi Aku makan; ketika Aku dahaga, kamu tidak memberi Aku minum.
43 Aku seorang asing, tetapi kamu tidak menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, tetapi kamu tidak memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan, tetapi kamu tidak melawat Aku.’
44 Lalu mereka akan berkata kepada-Nya, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar, atau dahaga, atau sebagai orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau dipenjarakan, dan kami tidak menolong Tuhan?’
45 Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah bahawa pada waktu kamu tidak mahu menolong salah seorang yang hina, kamu tidak mahu menolong Aku.’
46 Kemudian semua orang itu akan menderita hukuman yang kekal, sedangkan mereka yang melakukan kehendak Allah akan menerima hidup sejati dan kekal.” +
+ 25:1 Luk 12.35
+ 25:12 Luk 13.25
n 25:15 lima ribu...wang emas...dua ribu...seribu keping; Harfiah: lima talenta...dua...satu...
+ 25:29 Mat 13.12; Mrk 4.25; Luk 8.18
+ 25:30 Luk 19.11-27
+ 25:30 Mat 8.12, 22.13; Luk 13.28
+ 25:31 Mat 16.27, 19.28
o 25:37 mereka yang melakukan kehendak Allah; Harfiah: orang-orang benar.
+ 25:46 Dan 12.2