Perkhabaran Yohanes Pembaptis
(Mrk 1.1-8; Luk 3.1-18; Yoh 1.19-28)
3
1 Pada masa itu Yohanes Pembaptis tiba di padang gurun di Yudea dan mula memberitakan hal ini.
2 “Bertaubatlah daripada dosa kamu,” katanya, “kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!”C +
3 Yohaneslah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Yesaya ketika dia berkata,
“Seorang berseru di padang gurun,
‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan;
luruskanlah jalan bagi-Nya.’” +
4 Pakaian Yohanes dibuat daripada bulu unta, dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu hutan. +
5 Orang dari Yerusalem, seluruh negeri Yudea, dan seluruh kawasan di sekitar Sungai Yordan datang kepada Yohanes.
6 Mereka mengaku dosa, lalu Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan.
7 Banyak orang Farisi dan Saduki datang kepadanya untuk dibaptis. Apabila Yohanes melihat mereka, dia berkata “Hai kamu orang jahat! Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? +
8 Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa.
9 Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! +
10 Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibuang ke dalam api. +
11 Aku membaptis kamu dengan air untuk menyatakan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Tetapi Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasut-Nya pun aku tidak layak.
12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam.”
Yesus Dibaptis
(Mrk 1.9-11; Luk 3.21-22)
13 Pada masa itu Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia menemui Yohanes dan minta supaya dibaptis olehnya.
14 Tetapi Yohanes cuba menolak permintaan itu. Dia berkata, “Sayalah yang seharusnya dibaptis oleh Tuan. Tetapi Tuan pula yang datang kepada saya!”
15 Tetapi Yesus menjawab, “Untuk sekarang ini biarlah demikian, kerana dengan jalan ini kita akan melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Allah.” Yohanes pun bersetuju.
16 Setelah Yesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Yesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.
17 Kemudian terdengar suara Allah berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.” +