BILANGAN
Kata Pengantar
Kitab Bilangan menceritakan sejarah umat Israel selama hampir empat puluh tahun, sejak umat Israel meninggalkan Gunung Sinai sehingga mereka sampai di sempadan sebelah timur tanah Kanaan, iaitu tanah yang dijanjikan TUHAN kepada mereka. Nama kitab ini diambil daripada peristiwa yang paling penting dalam kitab ini, iaitu pembancian umat Israel. Banci pertama dijalankan oleh Musa di Gunung Sinai sebelum mereka meninggalkan tempat itu, dan banci kedua, satu generasi kemudian, dijalankan di Moab, di sebelah timur Sungai Yordan. Dalam jangka masa antara banci pertama dan banci kedua, umat Israel pergi ke Kades-Barnea di sempadan sebelah selatan tanah Kanaan, tetapi mereka tidak berjaya memasuki tanah Kanaan dari tempat itu. Selepas mereka tinggal di kawasan itu selama bertahun-tahun, barulah mereka pergi ke sebelah timur Sungai Yordan. Sebahagian daripada umat Israel tinggal di situ, sedangkan yang lain bersiap untuk menyeberangi Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan.
Kitab Bilangan adalah kisah satu umat yang kerap kali takut dan putus asa apabila menghadapi kesusahan. Mereka memberontak terhadap Allah, dan juga terhadap Musa, orang yang dilantik oleh Allah untuk memimpin mereka. Kitab ini mengisahkan tentang bagaimana Allah dengan setia dan tekun memelihara umat-Nya, walaupun mereka lemah dan tidak taat. Kitab ini juga mengisahkan tentang Musa, yang mengabdi dengan tekun, baik kepada Allah mahupun kepada umat Israel, walaupun ada kalanya Musa kurang sabar.
Kandungan
Umat Israel Bersedia Meninggalkan Gunung Sinai 1.1—9.23
a. Banci Pertama 1.1—4.49
b. Pelbagai Hukum dan Peraturan 5.1—8.26
c. Paska yang Kedua 9.1-23
Dari Gunung Sinai ke Moab 10.1—21.35
Peristiwa-Peristiwa di Moab 22.1—32.42
Ringkasan Perjalanan dari Mesir ke Moab 33.1-49
Petunjuk sebelum Menyeberangi Sungai Yordan 33.50—36.13
Umat Israel Mengadakan Banci yang Pertama
1
1 Pada hari pertama bulan kedua, dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, TUHAN berfirman kepada Musa di dalam Khemah TUHAN di Gurun Sinai. Dia berfirman,
2 “Engkau dan Harun harus membanci orang Israel menurut puak dan keluarga. Buatlah senarai nama semua orang lelaki
3 yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang layak menjadi askar.
4 Mintalah seorang penghulu puak daripada tiap-tiap suku untuk menolong kamu.”
5-16 Inilah semua orang lelaki, iaitu para pemimpin dalam suku mereka, yang dipilih dari antara umat untuk melakukan tugas itu:
Suku | Pemimpin |
Ruben | Elizur anak Syedeur |
Simeon | Selumiel anak Zurisyadai |
Yehuda | Nahason anak Aminadab |
Isakhar | Netaneel anak Zuar |
Zebulon | Eliab anak Helon |
Efraim | Elisama anak Amihud |
Manasye | Gamaliel anak Pedazur |
Benyamin | Abidan anak Gideoni |
Dan | Ahiezer anak Amisyadai |
Asyer | Pagiel anak Okhran |
Gad | Elyasaf anak Dehuel |
Naftali | Ahira anak Enan |
17 Dengan bantuan dua belas orang itu, Musa dan Harun
18 mengumpulkan segenap umat pada hari pertama bulan kedua. Semua orang didaftarkan menurut puak dan keluarga masing-masing. Nama setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas didaftarkan dan dihitung,
19 sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa mendaftarkan mereka di Gurun Sinai.
20-46 Nama orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang layak menjadi askar, didaftarkan menurut puak dan keluarga, bermula dengan suku Ruben, anak lelaki sulung Yakub. Jumlah mereka adalah seperti berikut: +
Suku | Bilangan Orang |
Ruben | 46,500 |
Simeon | 59,300 |
Gad | 45,650 |
Yehuda | 74,600 |
Isakhar | 54,400 |
Zebulon | 57,400 |
Efraim | 40,500 |
Manasye | 32,200 |
Benyamin | 35,400 |
Dan | 62,700 |
Asyer | 41,500 |
Naftali | 53,400 |
Jumlah: | 603,550 |
47 Orang Lewi tidak didaftarkan bersama dengan suku-suku lain,
48 kerana TUHAN sudah berfirman kepada Musa,
49 “Apabila engkau membanci orang lelaki yang layak menjadi askar, jangan banci suku Lewi.
50 Tetapi suruhlah orang Lewi mengurus Khemah-Ku dan segala peralatannya. Mereka harus memikul Khemah dan peralatannya, serta bertugas di situ. Mereka juga harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku.
51 Apabila kamu memindahkan perkhemahan, orang Lewi harus menggulung Khemah-Ku, dan memasangnya semula di tempat yang baru. Selain orang Lewi, sesiapa yang menghampiri Khemah-Ku mesti dihukum mati.
52 Orang Israel lain harus berkhemah dalam kumpulan, dan setiap orang dalam kelompoknya sendiri, dan di bawah panji masing-masing.
53 Tetapi orang Lewi harus berkhemah di sekeliling Khemah-Ku untuk mengawalnya supaya tiada sesiapa pun akan menghampirinya, lalu menyebabkan Aku murka dan menghukum umat Israel.”
54 Maka umat Israel melakukan segala yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
+ 1:20-46 Bil 26.1-51