Lembu Merah yang Dibakar
19
TUHAN memerintah Musa dan Harun untuk memberi umat Israel peraturan berikut. Seekor lembu betina merah yang tidak ada cacat dan yang belum pernah digunakan untuk bekerja harus diberikan kepada Musa dan Harun. Kemudian Musa dan Harun akan menyerahkan lembu itu kepada Imam Eleazar. Lembu itu harus dibawa ke luar perkhemahan dan disembelih di hadapan Imam Eleazar.o Kemudian dengan jarinya, Eleazar akan mengambil sedikit darah lembu itu, lalu memercikkannya tujuh kali ke arah Khemah TUHAN. Seluruh lembu itu, termasuk kulit, daging, darah, dan ususnya harus dibakar di hadapan imam. Selanjutnya imam itu harus mengambil sedikit kayu sedar, setangkai hisop, dan seutas tali merah, lalu melemparkan semuanya ke dalam api yang sedang membakar lembu merah itu. Kemudian imam harus mencuci pakaiannya dan mandi, barulah dia boleh masuk ke perkhemahan, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Orang yang membakar lembu itu mesti mencuci pakaiannya dan mandi, tetapi dia juga tetap najis sehingga matahari terbenam. Selepas itu seorang yang tidak najis harus mengumpulkan abu lembu tadi dan meletakkannya di luar perkhemahan, di suatu tempat yang tidak najis. Abu itu disimpan di situ supaya umat Israel dapat menggunakannya untuk menyediakan air bagi upacara penyucian. Upacara itu dilakukan untuk menghapuskan dosa. + 10 Orang yang mengumpulkan abu itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam. Peraturan ini berlaku selama-lamanya bagi umat Israel mahupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka.
Orang yang Menyentuh Mayat
11 Sesiapa yang menyentuh mayat menjadi najis selama tujuh hari. 12 Pada hari ketiga dan hari ketujuh, orang itu harus menyucikan diri dengan air upacara penyucian, barulah dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga dan hari ketujuh, dia tetap najis. 13 Sesiapa yang menyentuh mayat dan tidak menyucikan diri tetap najis, kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN, kerana itu dia tidak lagi dianggap anggota umat Allah.
14 Apabila seseorang mati di dalam sebuah khemah, sesiapa sahaja yang berada di dalam khemah itu, atau sesiapa sahaja yang masuk ke dalamnya akan menjadi najis selama tujuh hari. 15 Semua kendi dan periuk yang tidak bertudung di dalam khemah itu menjadi najis. 16 Setiap orang yang menyentuh mayat orang yang mati dibunuh, atau yang mati biasa di luar rumah, menjadi najis selama tujuh hari. Begitu juga orang yang menyentuh kubur atau tulang orang mati.
17 Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu lembu betina merah yang dibakar untuk menghapuskan dosa, harus diambil. Abu itu mesti dimasukkan ke dalam sebuah periuk, lalu dituangi air yang diambil dari air yang mengalir. 18 Bagi hal yang pertama, iaitu apabila ada orang yang mati di dalam khemah, seorang yang tidak najis harus mengambil setangkai hisop dan mencelupkannya ke dalam air itu, lalu memercikkannya pada khemah serta semua barang dan orang yang ada di dalam khemah. Bagi hal yang kedua, iaitu apabila seseorang menyentuh mayat, kubur atau tulang orang mati, seorang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis dengan cara yang sama juga. 19 Orang yang tidak najis harus memercikkan air itu pada orang yang najis, pada hari yang ketiga dan hari yang ketujuh. Pada hari yang ketujuh, selesailah upacara penyucian orang yang najis itu. Orang itu harus membasuh pakaiannya dan mandi. Mulai saat matahari terbenam orang itu menjadi suci.
20 Sesiapa yang menjadi najis tetapi tidak melakukan upacara penyucian diri, akan tetap najis kerana air untuk upacara penyucian belum disiram ke atasnya. Orang itu menajiskan Khemah TUHAN dan tidak lagi dianggap anggota umat Allah. 21 Kamu harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya. Orang yang memercikkan air untuk upacara penyucian itu mesti membasuh pakaiannya. Sesiapa yang menyentuh air untuk upacara penyucian itu menjadi najis sehingga matahari terbenam. 22 Apa sahaja yang disentuh oleh seorang yang najis akan menjadi najis, dan orang lain yang menyentuhnya juga menjadi najis sehingga matahari terbenam.
o 19:3 Lembu itu...Eleazar; atau Dia harus membawa lembu itu ke sebelah timur perkhemahan dan menyembelihnya di situ. + 19:9 Ibr 9.13