Tugas Puak Kehat
4
1 TUHAN menyuruh Musa dan Harun
2 supaya membanci puak Kehat daripada suku Lewi, menurut puak kecil dan keluarga masing-masing,
3 dan supaya mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN.
4 Mereka bertanggungjawab mengurus benda-benda yang sangat suci.
5 TUHAN memberikan petunjuk berikut kepada Musa. Apabila tiba masanya untuk menggulung khemah, Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam Khemah TUHAN dan mengambil tirai di depan Tabut Perjanjian. Mereka harus menutup Tabut Perjanjian dengan tirai itu.
6 Kemudian mereka harus menutupinya lagi dengan sehelai kulit halus, dan membentangkan sehelai kain biru di atasnya, lalu memasangkan kayu pengusung Tabut Perjanjian.
7 Mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas meja, tempat roti yang dipersembahkan kepada TUHAN. Mereka harus meletakkan pinggan, mangkuk kemenyan, mangkuk persembahan, dan kendi untuk korban wain di atas meja itu. Persembahan roti harus sentiasa ada di atas meja itu.
8 Mereka harus membentangkan sehelai kain merah di atas semua benda itu, dan menutup semuanya dengan sehelai kulit halus. Kemudian mereka harus memasangkan kayu pengusung meja itu.
9 Mereka harus mengambil sehelai kain biru dan menutup kaki pelita serta pelita-pelitanya, penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dulang, dan semua bekas untuk minyak zaitun.
10 Mereka harus membungkus kaki pelita itu serta peralatannya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semuanya di atas usungan.
11 Selepas itu mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas mazbah emas, dan menutupnya dengan sehelai kulit halus. Kemudian mereka harus memasangkan kayu pengusung mazbah itu.
12 Mereka harus mengambil semua alat yang digunakan di dalam Bilik Suci, dan membungkus semuanya dengan sehelai kain biru. Mereka harus menutup semuanya dengan sehelai kulit halus, lalu meletakkan semua itu di atas usungan.
13 Mereka harus membersihkan mazbah daripada abu yang berminyak, lalu membentangkan sehelai kain ungu di atasnya.
14 Di atas mazbah itu, mereka harus meletakkan segala alat yang digunakan dalam ibadat di mazbah: perbaraan, garpu, penyodok, dan besen. Mereka harus menutup semua itu dengan kulit halus, lalu memasangkan kayu pengusung mazbah.
15 Pada masa menggulung khemah, puak Kehat akan mengangkat benda-benda yang suci hanya setelah Harun dan anak-anak lelakinya menutup semua benda itu serta peralatannya. Puak Kehat tidak boleh menyentuh benda-benda yang suci itu. Jika mereka menyentuhnya, mereka akan mati.
Itulah tugas puak Kehat apabila Khemah TUHAN dipindahkan.
16 Eleazar anak Imam Harun harus bertanggungjawab atas seluruh Khemah TUHAN, termasuk minyak pelita, kemenyan, korban daripada bijirin yang ditetapkan, minyak upacara, dan segala sesuatu di dalam Khemah TUHAN yang sudah dikhaskan untuk TUHAN.
17 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
18 “Jangan biar puak Kehat mati
19 kerana menghampiri benda-benda yang sangat suci itu. Untuk mengelakkan hal ini berlaku, Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam Khemah TUHAN dan menentukan tugas tiap-tiap orang, dan juga benda yang harus dibawa oleh setiap orang.
20 Tetapi jika orang daripada puak Kehat masuk ke dalam Khemah TUHAN dan melihat para imam menyiapkan benda-benda suci untuk dipindahkan,a mereka akan mati.”
Tugas Puak Gerson
21 TUHAN menyuruh Musa
22 membanci puak Gerson daripada suku Lewi, menurut puak kecil dan keluarga masing-masing.
23 Musa juga disuruh mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN.
24 Mereka bertanggungjawab membawa benda-benda berikut:
25 Khemah TUHAN dan penutupnya, serta penutupnya yang atas sekali yang dibuat daripada kulit halus, tirai pintu,
26 tirai dan tali bagi halaman di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah, tirai pintu halaman, dan semua peralatan yang digunakan untuk memasangkan benda-benda itu. Mereka bertanggungjawab melakukan semua tugas yang berkaitan dengan benda-benda itu.
27 Musa dan Harun harus mengawasi puak Gerson supaya mereka melaksanakan semua tugas itu dan membawa semua benda yang ditentukan oleh Harun dan anak-anak lelakinya.
28 Itulah tugas puak Gerson di Khemah TUHAN. Mereka harus melaksanakannya di bawah pengawasan Itamar anak Imam Harun.
Tugas Puak Merari
29 TUHAN menyuruh Musa membanci puak Merari daripada suku Lewi menurut puak kecil dan keluarga masing-masing.
30 Musa juga mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di Khemah TUHAN.
31 Mereka bertanggungjawab membawa rangka, palang, tiang, dan alas Khemah TUHAN,
32 dan juga membawa tiang, alas, pasak, dan tali bagi halaman di sekeliling Khemah TUHAN, bersama dengan segala peralatan yang digunakan untuk memasangkannya. Tiap-tiap orang diberikan tugas membawa benda-benda yang ditentukan.
33 Itulah tugas puak Merari di Khemah TUHAN. Mereka harus melaksanakan semua tugas itu di bawah pengawasan Itamar anak Imam Harun.
Suku Lewi Dibanci
34-48 Musa, Harun, dan para pemimpin Israel membanci tiga puak suku Lewi, iaitu puak Kehat, Gerson, dan Merari, menurut perintah TUHAN kepada mereka. Mereka membanci puak-puak itu menurut puak kecil dan keluarga masing-masing. Mereka juga mendaftarkan semua orang lelaki yang berumur di antara 30 dan 50 tahun, yang layak bekerja di dalam Khemah TUHAN. Bilangan mereka adalah seperti berikut:
Puak | Bilangan Orang |
Kehat | 2,750 |
Gerson | 2,630 |
Merari | 3,200 |
Jumlah: | 8,580 |
49 Demikianlah tiap-tiap orang ditentukan tugasnya sama ada untuk melayani ataupun membawa barang-barang, menurut perintah TUHAN melalui Musa; dan tiap-tiap orang didaftarkan menurut perintah TUHAN kepada Musa.
a 4:20 melihat...dipindahkan; atau melihat benda-benda suci walaupun sebentar sahaja.