Batu yang Hidup dan Bangsa yang Suci
2
1 Oleh itu, buanglah segala kejahatan daripada diri kamu. Janganlah berdusta lagi dan janganlah berpura-pura. Janganlah iri hati dan janganlah fitnah orang.
2 Hendaklah kamu menjadi seperti bayi yang baru lahir, yang sentiasa haus akan susu rohani yang murni. Dengan meminumnya kamu akan membesar dan diselamatkan.
3 Di dalam Alkitab tertulis, “Kamu sendiri sudah mengalami kebaikan Tuhan.” +
4 Datanglah kepada Tuhan. Dia bagaikan batu yang hidup, batu yang dibuang oleh manusia kerana dianggap tidak berguna, tetapi yang dipilih oleh Allah kerana dianggap berharga.
5 Hendaklah kamu datang kepada-Nya sebagai batu-batu yang hidup. Biarlah kamu digunakan untuk membina rumah Allah yang rohani. Dengan demikian kamu menjadi imam yang hidup khas untuk Allah dan yang mempersembahkan korban rohani yang berkenan kepada Allah, melalui Yesus Kristus.
6 Hal itu demikian kerana di dalam Alkitab tertulis,
“Aku telah memilih suatu batu berharga,
yang Aku tempatkan di Sion sebagai batu asas;
dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan dikecewakan.” +
7 Batu ini sangat berharga bagi kamu yang percaya. Tetapi bagi orang yang tidak percaya,
“Batu yang dibuang oleh pembina bangunan
telah menjadi batu yang paling utama.” +
8 Di dalam Alkitab juga tertulis ayat ini,
“Inilah batu yang akan menyebabkan orang tersandung,
batu yang akan menyebabkan mereka jatuh.”
Mereka tersandung kerana mereka tidak percaya kepada firman itu. Demikianlah kehendak Allah bagi mereka. +
9 Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri. Allah memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang. +
10 Dahulu kamu bukan umat Allah, tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mengenal rahmat Allah, tetapi sekarang kamu sudah menerima rahmat-Nya. +
Abdi Allah
11 Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa.
12 Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Allah, hendaklah begitu baik sehingga apabila mereka menuduh kamu sebagai orang jahat, mereka terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Allah pada hari Allah datang untuk menghukum orang.
13 Demi Tuhan, hendaklah kamu taat kepada pemerintah, baik kepada Kaisar yang menjadi penguasa yang terutama,
14 mahupun kepada gabenor yang dilantik oleh Kaisar untuk menghukum orang jahat, dan untuk memuji orang yang berbuat baik.
15 Allah mahu kamu melakukan perbuatan baik supaya orang yang bercakap bodoh tidak berpeluang memfitnah kamu.
16 Hiduplah sebagai orang bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan kamu untuk menutupi kejahatan, melainkan hiduplah sebagai abdi Allah.
17 Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar.
Penderitaan Kristus sebagai Teladan
18 Hamba, taatlah kepada tuan kamu, dan hormati mereka dengan sepenuhnya, bukan sahaja mereka yang baik hati dan bertimbang rasa, tetapi juga mereka yang kejam.
19 Allah akan memberkati kamu, jika kamu dengan tabah menanggung perlakuan yang tidak adil kerana kamu tahu akan kehendak Allah.
20 Apakah keistimewaannya, jika kamu menanggung hukuman yang memang harus kamu tanggung kerana bersalah? Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan apabila dihukum kerana melakukan yang benar, Allah akan memberkati kamu.
21 Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya.
22 Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta. +
23 Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan. Pada waktu Dia menanggung penderitaan, Dia tidak mengancam orang, tetapi Dia mempercayakan diri kepada Allah, Hakim yang adil itu. +
24 Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Allah.d Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu. +
25 Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah dibawa pulang untuk mengikut Gembala dan Pemelihara jiwa kamu. +