Petunjuk-Petunjuk
4
1 Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga!
2 Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan.
3 Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati.
4 Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah!
5 Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera.
6 Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.
7 Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.
8 Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat.
9 Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu.
Ucapan Terima Kasih
10 Dalam hidupku yang bersatu dengan Tuhan, aku bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi kamu berpeluang mengambil berat terhadap diriku. Aku tidak bermaksud bahawa kamu sudah melupakan aku, tetapi kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan bahawa kamu mengambil berat terhadap diriku.
11 Aku berkata seperti itu bukan kerana aku berkekurangan; aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit.
12 Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan.
13 Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.
14 Tetapi kamu sudah menolong aku dalam kesusahanku; perbuatan kamu itu baik.
15 Kamu yang tinggal di Filipi benar-benar tahu bahawa ketika aku meninggalkan Makedonia, pada waktu aku mula mengkhabarkan Berita Baik di situ, kamulah satu-satunya jemaah yang menolong aku. Hanya kamu yang mengalami untung rugi bersama-sama aku.
16 Semasa aku di Tesalonika dan memerlukan bantuan, lebih daripada sekali kamu mengirim bantuan kepadaku. + +
17 Aku tidak ingin menerima pemberian sahaja, tetapi aku ingin melihat keuntungan dimasukkan ke dalam akaun kamu.
18 Aku mengaku sudah menerima segala yang kamu berikan, yang lebih daripada cukup itu! Aku sudah menerima semua pemberian kamu yang dibawa oleh Epafroditus, dan sekarang aku mempunyai segala yang aku perlukan. Pemberian kamu seperti persembahan yang harum dan Allah berkenan menerima korban itu. +
19 Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus.
20 Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin.
Salam Terakhir
21 Sampaikan salamku kepada semua umat Allah yang menjadi milik Kristus Yesus. Terimalah salam daripada saudara-saudara seiman yang bersama-sama aku.
22 Semua umat Allah di sini mengirim salam kepada kamu, terutama mereka yang dari istana Kaisar.
23 Semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.