19
1 Lebih baik menjadi orang miskin tetapi jujur, daripada menjadi orang bodoh yang suka membohong.
2 Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan.
3 Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan TUHAN pula.
4 Orang kaya sentiasa mendapat kawan baru, tetapi orang miskin ditinggalkan kawan.
5 Orang yang berbohong di mahkamah dan orang yang berdusta pasti dihukum.
6 Setiap orang berusaha untuk mengambil hati orang besar dan mahu bersahabat dengan dermawan.
7 Orang yang miskin tidak disukai oleh saudaranya, apalagi oleh sahabatnya. Bagaimana pun dia berusaha untuk berkawan dengan mereka, dia tidak dapat memikat mereka.
8 Sesiapa mengejar pengetahuan, mengasihi dirinya; sesiapa mengingat apa yang dipelajarinya, akan berjaya.
9 Sesiapa yang membohong di mahkamah tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia pasti binasa.
10 Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa.
11 Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.
12 Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan.
13 Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti.
14 Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN.
15 Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan.
16 Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati.
17 Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya.
18 Disiplinkan anak selagi mereka muda. Jika tidak, kamu menyebabkan kehancuran mereka.s
19 Biarlah orang yang cepat marah merasakan akibatnya. Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.t
20 Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak.
21 Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana.
22 Ketamakan merupakan keaiban;u lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi pembohong.
23 Hormatilah TUHAN, maka kamu akan panjang umur. Kamu akan puas hati dan bebas daripada bahaya.
24 Ada orang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri.
25 Kalau orang sombong dihukum, orang yang bodoh mendapat pelajaran. Kalau orang yang bijak ditegur, dia menjadi lebih bijak.
26 Hanya anak yang memalukan dan tercela akan menganiaya bapanya dan mengusir ibunya.
27 Hai anakku, jika kamu berhenti belajar, kamu akan segera melupakan segala yang telah kamu pelajari.
28 Jika seseorang telah bertekad memberikan kesaksian palsu, keadilan tidak dijalankan. Orang jahat suka akan kejahatan.
29 Orang bodoh yang sombong pasti kena hukuman.