Nasihat-Nasihat Lain
6
Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain, maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri. Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu. Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian. Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu.
Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut. Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa, tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan. Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun? 10 Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.” 11 Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata. +
12 Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini. 13 Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu, 14 sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat. 15 Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali.
16-19 Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya:
sikap yang sombong,
mulut yang membohong,
tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah,
fikiran yang merancang hal-hal jahat,
kaki yang bergegas menuju kejahatan,
saksi yang terus-menerus berdusta,
dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.
Amaran tentang Zina
20 Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu. 21 Ingatlah dan simpanlah kata-kata mereka dalam hatimu. 22 Ajaran mereka akan memimpin kamu dalam perjalanan, melindungi kamu pada waktu malam, dan menasihati kamu pada waktu siang. 23 Petunjuk mereka bagaikan lampu yang terang, dan teguran mereka menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. 24 Dengan demikian kamu dijauhkan daripada perempuan jalang dan daripada pujukan isteri orang lain. 25 Jangan kamu tergoda oleh kecantikan mereka, atau terpikat oleh kerlingan mata mereka. 26 Pelacur dapat kamu bayar dengan harga sebuku roti sahaja, tetapi berzina dengan isteri orang lain harus kamu bayar dengan nyawa.
27 Jika kamu memangku api, pakaianmu terbakar. 28 Jika kamu berjalan di atas bara api, kakimu terbakar. 29 Demikian juga bahayanya jika seorang lelaki tidur dengan isteri orang lain. Sesiapa yang melakukan hal itu akan menanggung akibatnya. 30 Orang tidak menghina pencuri yang mencuri makanan kerana lapar; 31 walaupun demikian, jika pencuri itu tertangkap, dia mesti menggantinya tujuh kali ganda dan dia mesti menyerahkan segala miliknya. 32 Tetapi seorang lelaki yang berzina sangat bodoh. Lelaki itu membinasakan dirinya sendiri. 33 Dia akan dihina dan dipukul orang. Dia akan dipermalukan selama-lamanya. 34 Seorang suami paling marah apabila dia cemburu. Dendamnya tidak mengenal batas. 35 Dia tidak mahu menerima ganti rugi; pemberian sebanyak apa pun tidak dapat meredakan kemarahannya.
+ 6:11 Ams 24.33-34