119
Taurat TUHAN 
1 Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, 
dan hidup menurut Taurat TUHAN. 
2 Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, 
dan mentaati Dia dengan sepenuh hati. 
3 Mereka tidak melakukan kejahatan, 
tetapi hidup menurut kehendak TUHAN. 
4 Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, 
dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia. 
5 Semoga aku setia 
mematuhi peraturan-Mu. 
6 Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, 
aku tidak akan dipermalukan. 
7 Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, 
aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni. 
8 Aku akan taat kepada hukum-Mu; 
janganlah sekali-kali tinggalkan aku! 
Mentaati Taurat TUHAN 
9 Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? 
Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu. 
10 Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; 
jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu. 
11 Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, 
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. 
12 Aku memuji Engkau, ya TUHAN; 
ajarlah aku kehendak-Mu. 
13 Aku akan menceritakan 
segala hukum yang telah Engkau berikan. 
14 Aku gemar menurut perintah-Mu, 
lebih daripada memiliki segala kekayaan. 
15 Aku akan mengkaji peraturan-Mu, 
dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu. 
16 Aku gemar akan hukum-Mu; 
aku tidak akan melupakan perintah-Mu. 
Taurat TUHAN Membahagiakan Orang 
17 Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, 
supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. 
18 Bukalah mataku supaya aku dapat melihat 
ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. 
19 Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; 
janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. 
20 Hatiku sangat rindu 
untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. 
21 Engkau menegur orang yang sombong; 
terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. 
22 Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, 
kerana aku telah melakukan hukum-Mu. 
23 Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, 
tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. 
24 Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; 
peraturan-Mu menasihati aku. 
Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN 
25 Aku terbaring di atas debu kerana kalah; 
pulihkanlah aku menurut janji-Mu. 
26 Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; 
ajarlah aku kehendak-Mu. 
27 Tolonglah aku memahami hukum-Mu, 
dan aku akan merenungkan ajaran-Mun yang mengagumkan. 
28 Jiwaku hancur kerana kesedihan; 
kuatkanlah aku menurut janji-Mu. 
29 Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, 
dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. 
30 Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, 
dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. 
31 Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, 
jangan biarkan aku dipermalukan. 
32 Aku suka mentaati perintah-Mu, 
kerana Engkau menambahkan pengertianku. 
Doa Minta Pengertian 
33 Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, 
dan aku akan mentaatinya selalu. 
34 Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, 
dan dengan sepenuh hati melakukannya. 
35 Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, 
kerana perintah-Mu menggembirakan aku. 
36 Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, 
dan bukan untuk mendapat kekayaan. 
37 Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; 
berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. 
38 Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, 
janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. 
39 Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; 
betapa baiknya ketetapan-Mu. 
40 Aku mahu mentaati perintah-Mu; 
berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. 
Mempercayai Taurat TUHAN 
41 Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; 
selamatkanlah aku menurut janji-Mu. 
42 Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, 
kerana aku mempercayai firman-Mu. 
43 Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, 
kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. 
44 Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, 
untuk selama-lamanya. 
45 Maka aku akan hidup dengan bebas, 
kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. 
46 Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, 
dan aku tidak akan dipermalukan. 
47 Aku gemar mentaati perintah-Mu, 
kerana aku mencintai perintah-Mu. 
48 Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; 
aku akan merenungkan peraturan-Mu. 
Yakin akan Taurat TUHAN 
49 Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; 
janji yang telah memberikan harapan kepadaku. 
50 Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, 
kerana janji-Mu memberi aku hidup. 
51 Orang sombong selalu menghina aku, 
tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. 
52 Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, 
dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. 
53 Aku sangat marah kepada orang jahat 
apabila mereka melanggar Taurat-Mu. 
54 Selama hidupku yang singkat di bumi ini, 
aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. 
55 Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, 
dan aku memikirkan Taurat-Mu. 
56 Aku mendapat kebahagiaan 
dengan mentaati perintah-Mu. 
Kepatuhan kepada Taurat TUHAN 
57 Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; 
aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. 
58 Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; 
kasihanilah aku menurut janji-Mu. 
59 Aku telah memikirkan kelakuanku, 
dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. 
60 Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa 
untuk melakukan perintah-Mu. 
61 Orang jahat memasang perangkap untukku, 
tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. 
62 Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, 
kerana ketetapan-Mu adil. 
63 Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, 
semua orang yang mematuhi hukum-Mu. 
64 Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; 
ajarlah aku perintah-Mu. 
Nilai Taurat TUHAN 
65 Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, 
dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. 
66 Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, 
kerana aku percaya kepada perintah-Mu. 
67 Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, 
tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. 
68 Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; 
ajarlah aku perintah-Mu. 
69 Orang sombong memfitnah aku, 
tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. 
70 Mereka tidak mempunyai pengertian, 
tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. 
71 Memang baik Engkau menghukum aku, 
supaya aku memahami perintah-Mu. 
72 Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga 
daripada segala kekayaan di dunia. 
Keadilan Taurat TUHAN 
73 Engkau mencipta dan membentuk aku; 
berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. 
74 Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, 
kerana aku percaya kepada janji-Mu. 
75 Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, 
dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. 
76 Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, 
menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. 
77 Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, 
kerana aku gemar akan Taurat-Mu. 
78 Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, 
tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. 
79 Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, 
semua orang yang mengenal perintah-Mu. 
80 Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, 
supaya aku tidak dipermalukan. 
Doa Minta Pembebasan 
81 Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; 
aku percaya akan janji-Mu. 
82 Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, 
sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” 
83 Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, 
namun aku tidak melupakan perintah-Mu. 
84 Sampai bilakah aku mesti menunggu? 
Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? 
85 Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu 
sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. 
86 Semua perintah-Mu dapat dipercayai; 
tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! 
87 Mereka hampir berjaya membunuh aku, 
tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. 
88 Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, 
supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. 
Kepercayaan kepada Taurat TUHAN 
89 Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; 
firman-Mu kekal abadi di syurga. 
90 Engkau tetap setia selama-lamanya, 
Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. 
91 Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, 
kerana semuanya hamba-Mu. 
92 Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, 
pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. 
93 Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, 
kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. 
94 Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; 
aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. 
95 Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, 
tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. 
96 Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; 
hanya perintah-Mu yang sempurna. 
Cinta kepada Taurat TUHAN 
97 Aku sangat mencintai Taurat-Mu! 
Aku merenungkannya sepanjang hari. 
98 Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, 
dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. 
99 Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, 
kerana aku merenungkan peraturan-Mu. 
100 Aku lebih bijak daripada orang tua, 
kerana aku mentaati perintah-Mu. 
101 Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, 
kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. 
102 Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, 
kerana Engkaulah yang mengajar aku. 
103 Betapa manisnya peraturan-Mu; 
lebih manis daripada madu! 
104 Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, 
oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. 
Taurat TUHAN Memberikan Cahaya 
105 Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, 
dan cahaya yang menerangi jalanku. 
106 Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, 
untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. 
107 Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; 
selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. 
108 Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, 
dan ajarlah aku perintah-Mu. 
109 Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; 
akuo tidak melupakan Taurat-Mu. 
110 Orang jahat memasang perangkap untukku, 
tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. 
111 Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; 
perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. 
112 Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu 
sehingga akhir hidupku. 
Taurat TUHAN Memberikan Keselamatan 
113 Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, 
tetapi aku mencintai Taurat-Mu. 
114 Engkaulah pembelaku dan pelindungku; 
aku berharap kepada janji-Mu. 
115 Hai orang jahat, pergilah daripadaku. 
Aku akan mematuhi perintah Allahku. 
116 Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; 
jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! 
117 Bantulah aku, lalu aku akan selamat, 
dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. 
118 Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; 
muslihat mereka sia-sia belaka. 
119 Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; 
oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. 
120 Aku gementar kerana takut kepada-Mu, 
dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. 
Taat kepada Taurat TUHAN 
121 Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; 
jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! 
122 Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; 
jangan biarkan orang sombong menindas aku! 
123 Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, 
dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. 
124 Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, 
dan ajarlah aku perintah-Mu. 
125 Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, 
supaya aku memahami ajaran-Mu. 
126 Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, 
kerana orang melanggar Taurat-Mu. 
127 Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, 
lebih daripada emas murni. 
128 Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; 
aku benci akan segala perbuatan yang salah. 
Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN 
129 Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; 
aku mentaatinya dengan sepenuh hati. 
130 Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, 
memberikan pengertian kepada orang jahil. 
131 Aku haus akan perintah-Mu, 
aku sangat menginginkannya. 
132 Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku 
seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. 
133 Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; 
jangan biarkan kejahatan menguasai aku. 
134 Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, 
supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. 
135 Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, 
dan ajarlah aku hukum-Mu. 
136 Air mataku mengalir seperti sungai, 
kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. 
Keadilan Taurat TUHAN 
137 Engkau adil, ya TUHAN, 
dan hukum-Mu adil. 
138 Peraturan yang Engkau berikan 
semuanya adil dan benar. 
139 Kemarahan membara dalam diriku 
kerana musuhku melanggar perintah-Mu. 
140 Janji-Mu dapat dipercayai, 
aku sangat mencintainya. 
141 Aku ini tidak penting dan aku terhina, 
tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. 
142 Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, 
dan Taurat-Mu tetap benar. 
143 Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, 
tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. 
144 Peraturan-Mu selalu adil; 
berilah aku pengertian supaya aku hidup. 
Doa Minta Pembebasan 
145 Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; 
kabulkanlah doaku, ya TUHAN; 
aku akan taat kepada perintah-Mu. 
146 Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; 
aku mahu mematuhi hukum-Mu. 
147 Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, 
aku berharap kepada janji-Mu. 
148 Sepanjang malam aku tidak tidur, 
kerana merenungkan peraturan-Mu. 
149 Demi kasih-Mu yang kekal, 
ya TUHAN, dengarlah aku; 
kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. 
150 Penganiayaku yang kejam sudah dekat; 
mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu. 
151 Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, 
dan segala perintah-Mu itu benar. 
152 Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, 
yang Engkau kekalkan selama-lamanya. 
Doa Minta Tolong 
153 Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, 
kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu. 
154 Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; 
selamatkanlah aku menurut janji-Mu. 
155 Orang jahat tidak akan diselamatkan, 
kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu. 
156 Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; 
kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. 
157 Banyak orang memusuhi dan menindas aku, 
tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu. 
158 Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, 
kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu. 
159 Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. 
Selamatkanlah aku, 
kerana kasih-Mu. 
160 Segala firman-Mu benar, 
dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi. 
Kesetiaan terhadap Taurat TUHAN 
161 Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, 
tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti. 
162 Janji-Mu membahagiakan aku, 
seperti orang yang menemukan harta. 
163 Aku sangat membenci segala dusta, 
tetapi aku mencintai Taurat-Mu. 
164 Aku terus-menerusp bersyukur kepada-Mu 
bagi ketetapan-Mu yang adil. 
165 Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; 
mereka tidak akan ditimpa malapetaka. 
166 Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, 
dan aku melakukan segala perintah-Mu. 
167 Aku mentaati ajaran-Mu, 
dan mencintainya dengan segenap hati. 
168 Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, 
kerana Engkau melihat segala perbuatanku. 
Doa Minta Tolong 
169 Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! 
Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan. 
170 Dengarkanlah doaku, 
dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu. 
171 Aku akan memuji Engkau selalu, 
kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu. 
172 Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, 
kerana perintah-Mu adil. 
173 Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, 
kerana aku mahu mengikut perintah-Mu. 
174 Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, 
Taurat-Mu menggembirakan hatiku. 
175 Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; 
semoga peraturan-Mu menolong aku. 
176 Aku merayau seperti domba yang sesat; 
oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, 
kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu. 
