20
Doa Minta Kemenangan 
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. 
2 Semoga TUHAN mengabulkan doamu pada waktu kesusahan. 
Semoga kuasa Allah Yakub melindungi kamu. 
3 Semoga Dia menghantar pertolongan dari Rumah-Nya 
dan memberi kamu bantuan dari Bukit Sion. 
4 Semoga Dia menerima segala persembahanmu 
dan berkenan pada segala korbanmu. 
5 Semoga Dia memberi kamu keinginanmu 
dan menjayakan segala rancanganmu. 
6 Lalu kami akan bersorak-sorak kerana kemenanganmu, 
dan merayakan kemenanganmu dengan memuji Allah kita. 
Semoga TUHAN mengabulkan segala permintaanmu. 
7 Sekarang aku tahu bahawa TUHAN memberikan kemenangan 
kepada raja pilihan-Nya; 
dari syurga-Nya yang suci TUHAN mengabulkan permintaannya. 
Oleh kuasa TUHAN, raja mendapat kemenangan yang besar. 
8 Ada orang bergantung kepada kereta kuda mereka, 
yang lain kepada kuda mereka, 
tetapi kita yakin akan kuasa TUHAN, Allah kita. 
9 Mereka akan tersandung dan jatuh, 
tetapi kita akan bangkit dan berdiri teguh. 
10 Berikanlah kemenangan kepada raja, ya TUHAN; 
jawablahm kami apabila kami berseru. 
m 20:10  Beberapa terjemahan kuno: jawablah; Naskhah Ibrani: Dia akan menjawab.
