34
Pujian bagi Kebaikan TUHAN 
1 Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh. + 
2 Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; 
aku tidak akan berhenti memuji Dia. 
3 Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; 
semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira. 
4 Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, 
marilah bersama-sama memuji nama-Nya. 
5 Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, 
Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan. 
6 Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; 
mereka tidak sekali-kali akan kecewa. 
7 Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, 
Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan. 
8 Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, 
dan menyelamatkan mereka daripada bahaya. 
9 Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! 
Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya! + 
10 Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, 
kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan. 
11 Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, 
tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik. 
12 Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, 
aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN. 
13 Mahukah kamu menikmati hidup? 
Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia? 
14 Jangan keluarkan kata-kata jahat, 
dan jangan suka berdusta. 
15 Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; 
usahakanlah kedamaian dengan tekun. 
16 TUHAN memperhatikan orang salih, 
dan mendengar tangisan mereka; 
17 tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; 
apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan. + 
18 Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar 
dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan. 
19 TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; 
Dia menyelamatkan mereka yang putus asa. 
20 Orang baik mengalami banyak kesusahan, 
tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya; 
21 TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, 
tulang mereka tidak satu pun patah. + 
22 Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; 
mereka yang membenci orang salih akan dihukum. 
23 TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, 
mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan. 
