39
Pengakuan Orang yang Menderita 
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun. 
2 Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku, 
dan tidak akan berdosa dengan lidahku. 
Aku tidak akan berkata apa-apa 
selama orang jahat berada di sisiku.” 
3 Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun, 
walaupun tentang perkara yang baik. 
Tetapi penderitaanku bertambah berat, 
4 dan hatiku penuh kecemasan. 
Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku; 
lalu aku bertanya, 
5 “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku 
supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.” 
6 Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! 
Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. 
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas, 
7 hidup mereka berlalu seperti bayangan. 
Segala perbuatan mereka sia-sia; 
mereka mengumpulkan harta, 
tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya. 
8 Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan? 
Aku berharap kepada-Mu. 
9 Selamatkanlah aku daripada segala dosaku, 
dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu. 
10 Aku diam dan tidak membuka mulutku, 
kerana inilah perbuatan-Mu. 
11 Janganlah hukum aku lagi, 
aku hampir mati kerana pukulan-Mu. 
12 Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu, 
dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka. 
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja. 
13 Dengarlah doaku, ya TUHAN, 
dan sambutlah rayuanku; 
janganlah diam ketika aku menangis. 
Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara, 
seperti nenek moyangku. 
14 Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan, 
sebelum aku meninggal dan tiada lagi. 
