41
Doa Minta Penyembuhan 
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. 
2 Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya; 
TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan. 
3 TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka, 
TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini; 
TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh. 
4 TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit 
dan memulihkan kesihatan mereka. 
5 Aku berkata, “Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu; 
kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!” 
6 Musuhku mengumpat aku. 
Mereka mahu aku mati dan dilupakan. 
7 Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas; 
mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku, 
lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana. 
8 Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku, 
mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku.a 
9 Mereka berkata, “Dia sakit teruk sekali 
dan tidak akan bangun dari katilnya lagi.” 
10 Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai, 
orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku. + 
11 Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku, 
agar aku dapat membalas musuh-musuhku. 
12 Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku, 
kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku. 
13 Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku; 
Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya. 
14 Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel; 
pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya. 
Amin! Amin! + 
