46
Allah Menyertai Kita 
1 Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Dengan lagu Alamot. 
2 Allah perlindungan dan kekuatan kita; 
Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan. 
3 Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa 
dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut; 
4 walaupun laut mengamuk dan bergelora, 
dan gunung bergoncang dengan kuatnya. 
5 Ada sebatang sungai yang menggembirakan kota Allah, 
tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi. 
6 Allah tinggal di situ, kota yang tidak akan dimusnahkan; 
ketika masih subuh, Dia akan datang menolongnya. 
7 Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar; 
ketika Allah mengguntur, bumi pun lebur. 
8 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; 
Allah Yakub melindungi kita. 
9 Mari, lihatlah apa yang telah dilakukan TUHAN. 
Lihatlah, perbuatan Allah di bumi sangat menakjubkan. 
10 Dia menghentikan perang di seluruh dunia; 
Dia mematahkan busur, memusnahkan lembing, 
dan membakar perisai. 
11 Dia berfirman, “Berhentilah berperang, 
ketahuilah bahawa Aku ini Allah, 
yang agung antara bangsa-bangsa dan di seluruh bumi.” 
12 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; 
Allah Yakub melindungi kita. 
