52
Hukuman terhadap Orang Jahat 
1 Untuk pemimpin koir. Sajak Daud, 
2 pada masa Doeg, orang Edom itu menghadap Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud sudah pergi ke rumah Abimelekh. + 
3 Hai orang gagah, mengapa engkau membanggakan kejahatanmu 
terhadap orang yang dikasihi Allah? 
4 Sepanjang hari engkau merancang kehancuran orang; 
mulutmu setajam pisau cukur, 
dan dusta sentiasa engkau karang. 
5 Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan, 
dan lebih menyukai fitnah daripada kebenaran. 
6 Engkau suka menyakiti hati orang dengan kata-kata. 
Engkau pendusta! 
7 Oleh itu, Allah akan memusnahkan engkau selama-lamanya; 
Dia akan menangkap dan menarik engkau dari rumah; 
Dia akan melenyapkan engkau dari dunia orang hidup. 
8 Orang salih akan melihat perbuatan ini dan berasa takut; 
mereka akan mentertawakan engkau, dan berkata, 
9 “Lihat, inilah orang yang tidak berlindung kepada Allah, 
tetapi yakin akan kekayaannya yang berlimpah, 
dan mencari perlindungan dalam jenayah.” 
10 Tetapi aku umpama pokok zaitun yang tumbuh di Rumah Allah; 
aku bergantung kepada kasih-Nya selama-lamanya. 
11 Ya Allah, aku akan sentiasa bersyukur kepada-Mu, 
kerana segala perbuatan-Mu; 
di tengah-tengah umat-Mu, 
aku akan memberitakan kebaikan-Mu. 
+ 52:2  1 Sam 22.9-10
