59
Doa Minta Perlindungan 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia. + 
2 Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; 
lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku! 
3 Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; 
lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu! 
4 Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; 
orang kejam berkumpul mengadang aku. 
Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan, 
5 bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, 
mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan. 
6 Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; 
lihatlah sendiri, ya Allah Israel! 
Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; 
jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam. 
7 Pada waktu senja mereka pulang, 
melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. 
8 Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. 
Kata-kata mereka tajam seperti pedang; 
mereka menyangka tiada orang yang mendengar. 
9 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; 
Engkau mengolok-olokkan semua bangsa. 
10 Aku yakin akan kekuatan-Mu; 
ya Allah, Engkaulah pernaunganku. 
11 Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; 
Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku. 
12 Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. 
Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, 
ya Tuhan, pelindung kami. 
13 Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, 
biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. 
Kerana mereka menyumpah dan berdusta, 
14 binasakanlah mereka semasa Engkau murka; 
binasakanlah mereka semuanya. 
Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, 
dan Dia memerintah semua orang di dunia. 
15 Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, 
melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. 
16 Mereka berkeliaran mencari makanan, 
dan menggeram jika tidak kenyang. 
17 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; 
setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. 
Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, 
perlindungan pada masa kesusahanku. 
18 Aku akan memuji Engkau, pembelaku; 
Allah ialah pernaunganku, 
Allah yang mengasihi aku. 
+ 59:1  1 Sam 19.11
