89
Mazmur pada Masa Kesusahan Negara +
1 Sajak Etan, orang Ezrahi.
2 Ya TUHAN, aku akan sentiasa menyanyikan kasih-Mu yang kekal;
aku akan memberitakan kesetiaan-Mu selama-lamanya.
3 Aku tahu bahawa kasih-Mu kekal,
dan kesetiaan-Mu kukuh seperti langit.
4 Engkau berfirman, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang pilihan-Ku;
Aku telah berjanji kepada Daud, hamba-Ku:
5 ‘Aku akan mempertahankan takhtamu selama-lamanya,
seorang keturunanmu akan sentiasa menjadi raja.’” +
6 Semua makhluk syurga memuji perbuatan-Mu yang ajaib,
dan menyanyikan kesetiaan-Mu, ya TUHAN.
7 Tiada sesiapa di langit yang seperti Engkau, ya TUHAN;
tiada makhluk syurga yang setanding dengan Engkau.
8 Engkau dihormati di sidang makhluk suci,
dan sangat ditakuti oleh semua yang di sekeliling-Mu.
9 Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau;
Engkau setia dalam segala hal, ya TUHAN.
10 Engkau memerintah laut yang bergelora,
Engkau menenangkan ombak yang melambung hebat.
11 Engkau meremukkan dan membunuh Rahab,j makhluk raksasa itu,
dan Engkau mengalahkan musuh-Mu dengan kekuatan-Mu.
12 Bumi dan langit milik-Mu,
dunia dan segala isinya ciptaan-Mu;
13 Engkau mencipta utara dan selatan;
Gunung Tabor dan Gunung Hermon bersorak-sorai memuji-Mu.
14 Betapa besarnya kuasa-Mu,
dan betapa hebatnya kekuatan-Mu!
15 Kerajaan-Mu berasaskan hukum dan keadilan;
kasih dan kesetiaan terdapat pada segala perbuatan-Mu.
16 Berbahagialah orang yang menyembah Engkau dengan nyanyian,
orang yang hidup dalam cahaya hadirat-Mu, TUHAN.
17 Sepanjang hari mereka bergembira,
dan memuji Engkau kerana kebaikan-Mu.
18 Engkau memberi kami kemenangan yang besar;
demi kebaikan-Mu, Engkau membuat kami berjaya.
19 Engkau, TUHAN memilih pelindung kami;
Engkau, Allah Yang Maha Suci, Allah umat Israel memberi kami raja.
Janji Allah kepada Daud
20 Dahulu kala dalam suatu penglihatan,
Engkau berfirman kepada hamba-hamba-Mu yang setia,
“Aku telah menolong seorang pahlawan;
Aku telah memberikan takhta kepada seorang yang Kupilih di kalangan rakyat.
21 Aku telah menemukan hamba-Ku, Daud dan menjadikannya raja,
dan Aku menuangi dia dengan minyak upacara. +
22 Kekuatan-Ku sentiasa bersama-sama dia,
kuasa-Ku akan menguatkan dia.
23 Musuh-musuhnya tidak akan dapat menewaskan dia,
orang jahat tidak akan dapat mengalahkan dia.
24 Aku akan menghancurkan lawannya,
dan membunuh semua yang membenci dia.
25 Aku akan sentiasa mengasihi dia dan setia kepadanya;
Aku akan selalu memberikan kejayaan kepadanya.
26 Aku akan meluaskan kerajaannya
dari Laut Tengah sampai ke Sungai Efrat.
27 Dia akan berkata kepada-Ku,
‘Engkaulah Bapaku dan Allahku;
Engkaulah pelindung dan penyelamatku.’
28 Aku akan menjadikan dia putera-Ku yang sulung,
dan menjadikan dia raja yang teragung di bumi. +
29 Aku akan tetap mengasihinya,
dan perjanjian-Ku dengan dia akan kekal selama-lamanya.
30 Seorang keturunannya akan bertakhta,
dan kerajaannya akan kukuh seperti langit.
31 Tetapi jika keturunannya melanggar hukum-Ku,
dan tidak hidup menurut peraturan-Ku;
32 jika mereka mensia-siakan arahan-Ku,
dan mengabaikan perintah-Ku,
33 Aku akan menghukum mereka kerana dosa mereka,
dan menyebabkan mereka menderita kerana kesalahan mereka.
34 Tetapi Aku akan terus mengasihi Daud,
Aku akan terus menunaikan janji-Ku kepadanya.
35 Aku tidak akan membatalkan perjanjian-Ku dengan dia,
ataupun menarik kembali sebarang janji yang Aku buat dengannya.
36 Aku berjanji sekali sahaja untuk selama-lamanya dengan nama-Ku yang suci;
Aku tidak akan berdusta kepada Daud.
37 Dia akan sentiasa mempunyai keturunan,
dan Aku akan memelihara kerajaannya selama matahari ada.
38 Kerajaannya akan tetap ada seperti bulan,
saksi yang setia di langit.”
Ratapan kerana Kekalahan Raja
39 Tetapi Engkau murka terhadap raja pilihan-Mu;
Engkau telah meninggalkan dan menolak baginda.
40 Engkau telah membatalkan perjanjian-Mu dengan hamba-Mu,
dan membuang mahkotanya ke dalam lumpur.
41 Engkau telah merobohkan tembok-tembok kotanya,
dan membiarkan kubu-kubunya rosak.
42 Semua orang yang lalu di sana mencuri hartanya;
semua jirannya memperolok-olokkan baginda.
43 Engkau memberikan kemenangan kepada musuhnya,
dan menyebabkan mereka semua gembira.
44 Engkau membuat senjatanya tidak berguna,
dan membiarkan baginda kalah dalam perang.
45 Engkau mengakhiri kuasanya yang gemilang,k
dan mencampakkan takhtanya ke tanah.
46 Engkau menjadikan raja tua sebelum masanya,
dan Engkau mempermalukan baginda.
Doa Minta Pembebasan
47 Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau bersembunyi?
Sampai bilakah kemurkaan-Mu berkobar seperti api?
48 Ingatlah, betapa pendeknya usia manusia;
ingatlah bahawa Engkau mencipta manusia sebagai makhluk fana.
49 Siapakah yang boleh hidup dan tidak pernah mati?
Bagaimanakah orang dapat mengelakkan kubur?
50 Ya Tuhan, di manakah bukti tentang kasih-Mu dahulu?
Di manakah janji-janji-Mu kepada Daud?
51 Janganlah lupa bagaimana aku, hamba-Mu, telah dicela;
bagaimana aku menanggung kutukanl bangsa-bangsa.
52 Musuh-Mu mencela raja pilihan-Mu, ya TUHAN!
Mereka menghina raja ke mana sahaja baginda pergi.
53 Pujilah TUHAN selama-lamanya!
Amin! Amin!
+ 89: 1 Raj 4.31
+ 89:5 2 Sam 7.12-16; 1 Taw 17.11-14; Mzm 132.11; Kis 2.30
j 89:11 Rahab: Naga laut dalam cerita dongeng, dan yang melambangkan kekacauan dan kejahatan.
+ 89:21 1 Sam 13.14, 16.12; Kis 13.22
+ 89:28 Why 1.5
k 89:45 Dapat bermakna: kuasanya yang gemilang; Naskhah Ibrani: kesucian.
l 89:51 Dapat bermakna: kutukan; Naskhah Ibrani: orang ramai.