96
Allah, Raja yang Agung 
(1 Taw 16.23-33) 
1 Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! 
Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia! 
2 Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! 
Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. 
3 Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, 
dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia. 
4 TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, 
Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. 
5 Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, 
tetapi TUHAN pencipta angkasa raya. 
6 Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, 
tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya. 
7 Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! 
Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya! 
8 Pujilah nama TUHAN yang mulia; 
bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. 
9 Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul;o 
gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! + 
10 Katakanlah kepada semua bangsa, “TUHAN itu raja! 
Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; 
Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil.” 
11 Bersukacitalah, hai bumi dan langit! 
Berderulah, hai laut dan segala isimu! 
12 Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! 
Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, 
13 apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. 
Dia akan memerintah penduduk dunia 
dengan jujur dan adil. 
