Raja Asa Mengadakan Pembaharuan
15
1 Roh Allah menguasai Azarya anak Obed,
2 lalu dia pergi menghadap Raja Asa. Katanya, “Dengarlah hamba, hai Raja Asa, dan kamu semua penduduk Yehuda dan Benyamin! TUHAN berserta kamu selama kamu berserta Dia. Jika kamu mencari Dia, maka Dia akan berkenan ditemui oleh kamu. Tetapi jika kamu meninggalkan Dia, maka Dia akan meninggalkan kamu.
3 Sudah lama Israel tidak mengabdi kepada Allah yang benar, tidak mempunyai imam-imam yang mengajar mereka, dan tidak mempunyai hukum.
4 Tetapi pada masa kesusahan, mereka minta tolong kepada TUHAN, Allah Israel. Mereka mencari Dia, lalu menemui Dia.
5 Pada masa itu tiada sesiapa pun dapat berpergian dengan selamat, kerana di seluruh negeri terdapat huru-hara.
6 Bangsa yang satu menindas bangsa yang lain, dan kota yang satu menindas kota yang lain, kerana Allah sedang mendatangkan kesusahan dan kecemasan terhadap mereka.
7 Tetapi kamu mesti tabah dan berani. Pekerjaan yang kamu lakukan akan diberikan ganjaran.”
8 Apabila Raja Asa mendengar nubuat Azarya anakv Obed, semangatnya berkobar. Baginda membuang semua berhala di Yehuda dan Benyamin, serta semua berhala di kota-kota yang direbut oleh baginda di perbukitan Efraim. Raja Asa memperbaiki mazbah TUHAN yang terletak di halaman Rumah TUHAN.
9 Banyak orang datang dari Efraim, Manasye dan Simeon, lalu tinggal di dalam kerajaan Raja Asa, kerana mereka telah melihat bahawa TUHAN menolong Raja Asa. Raja Asa memanggil mereka semua bersama-sama penduduk Yehuda dan Benyamin.
10 Mereka semua berkumpul di Yerusalem pada bulan ketiga tahun kelima belas pemerintahan Raja Asa.
11 Pada hari itu mereka mempersembahkan 700 ekor lembu dan 7,000 ekor domba sebagai korban kepada TUHAN; semua itu adalah hasil jarahan.
12 Mereka membuat perjanjian bahawa dengan segenap hati dan jiwa, mereka akan hidup menurut kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka.
13 Sesiapa sahaja, baik tua atau muda, lelaki atau perempuan, yang tidak hidup menurut kehendak TUHAN, Allah Israel, harus dihukum mati.
14 Dengan suara yang kuat dan atas nama TUHAN, mereka bersumpah untuk memegang perjanjian mereka itu. Selepas itu, mereka bersorak-sorak dan meniup trompet.
15 Segenap penduduk Yehuda bersukacita kerana mereka telah membuat perjanjian itu dengan sepenuh hati. Mereka beribadat kepada TUHAN dengan sungguh-sungguh, maka mereka pun diperkenankan TUHAN dan diberikan keamanan di seluruh negeri.
16 Raja Asa menurunkan kedudukan neneknya, Maakha sebagai bonda ratu, kerana baginda telah membuat sebuah patung cabul untuk Dewi Asyera, dewi kesuburan. Raja Asa merobohkan patung itu, menetaknya, lalu membakarnya di Lembah Kidron.
17 Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala di negeri itu, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya.
18 Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya, di dalam Rumah TUHAN. Di sana Raja Asa juga meletakkan benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri.
19 Peperangan tidak berlaku sehingga pada tahun ketiga puluh lima pemerintahannya.
v 15:8 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno: anak. Naskhah Ibrani tidak mempunyai perkataan ini.