Raja Ahazia, Raja Yehuda
(2 Raj 8.25-29, 9.21-28)
22
Beberapa orang Arab telah menyerbu dan membunuh semua putera Raja Yehoram kecuali Ahazia, putera yang bongsu. Oleh itu penduduk Yerusalem melantik Ahazia menjadi raja untuk menggantikan ayahandanya. 2-3 Raja Ahazia menjadi raja ketika baginda berumur dua puluh duae tahun dan baginda memerintah di Yerusalem selama satu tahun. Raja Ahazia juga mengikut cara hidup keluarga Raja Ahab, kerana bondanya, Atalya memberikan nasihat kepadanya untuk melakukan yang jahat. Atalya ialah puteri Raja Ahab, dan cucu Raja Omri, raja Israel. Raja Ahazia berdosa terhadap TUHAN kerana setelah kemangkatan ayahandanya, beberapa anggota keluarga Raja Ahab menjadi penasihatnya; merekalah yang menyebabkan kejatuhan Raja Ahazia. Oleh sebab nasihat mereka, Raja Ahazia bergabung dengan Raja Yoram dari Israel untuk berperang dengan Raja Hazael, dari Siria. Pertempuran berlaku di Ramot di daerah Gilead, dan Raja Yoram cedera dalam pertempuran itu. Kemudian Raja Yoram pulang ke Yizreel untuk dirawat, dan Raja Ahazia menziarahi baginda di situ.
Allah telah menentukan agar Raja Ahazia menemui kejatuhannya apabila baginda melawat Raja Yoram. Ketika Raja Ahazia berada di situ, baginda dan Raja Yoram dicabar oleh seorang yang bernama Yehu anak Nimsi, yang telah dipilih TUHAN untuk membinasakan keluarga Raja Ahab. Ketika Yehu menjalankan hukuman TUHAN terhadap keluarga itu, dia berjumpa dengan sekumpulan pemimpin Yehuda dan putera-putera saudara Raja Ahazia yang ikut dalam kunjungan itu. Maka Yehu membunuh mereka semua. Kemudian Yehu menyuruh orang mencari Raja Ahazia. Baginda ditangkap ketika bersembunyi di Samaria. Mereka membawa Raja Ahazia kepada Yehu, lalu baginda dibunuh. Walaupun begitu mereka memakamkan Raja Ahazia kerana mereka menghormati datuk baginda, Raja Yosafat yang telah mengabdi kepada TUHAN dengan sepenuh hati.
Tiada sesiapa lagi daripada keluarga Raja Ahazia yang dapat mengambil alih pemerintahan.
Ratu Atalya Penguasa Yehuda
(2 Raj 11.1-3)
10 Apabila bonda Raja Ahazia mendengar tentang pembunuhan puteranya, bonda raja itu memerintah supaya semua anggota keluarga diraja Yehuda dibunuh. 11 Raja Ahazia mempunyai seorang saudara tiri perempuan bernama Yoseba, yang berkahwin dengan seorang imam bernama Yoyada. Dengan diam-diam Yoseba mengambil Yoas, salah seorang putera Raja Ahazia. Yoseba mengambil Yoas daripada putera-putera raja yang lain, dan menyembunyikan Yoas dan pengasuhnya di sebuah bilik di Rumah TUHAN. Dengan demikian Yoseba menyelamatkan Yoas daripada Atalya bonda raja, yang hendak membunuh putera-putera raja. 12 Enam tahun lamanya Yoas disembunyikan di situ sementara Atalya bonda raja, memerintah sebagai ratu.
e 22:2-3 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno (lihat juga 2 Raj 8.26): dua puluh dua. Naskhah Ibrani: empat puluh dua.