Raja Uzia, Raja Yehuda
(2 Raj 14.21-22, 15.1-7)
26
1 Semua penduduk Yehuda melantik Raja Uzia, putera Raja Amazia menjadi raja. Pada masa itu Raja Uzia berumur enam belas tahun. (
2 Setelah kemangkatan Raja Amazia, Raja Uzia, merebut semula Elot dan membina kota itu lagi.)
3 Raja Uzia menjadi raja ketika baginda berumur enam belas tahun dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya ialah Yekholya dari Yerusalem.
4 Raja Uzia mengikut teladan ayahandanya dan baginda melakukan apa yang diperkenankan TUHAN.
5 Selama Zakharia masih hidup, Raja Uzia beribadat kepada TUHAN dengan setia, dan Allah pun memberkati baginda. Zakharia mengajar baginda supaya takut akan Allah.
6 Raja Uzia berperang melawan orang Filistin. Baginda merobohkan tembok kota Gat, Yabne, dan Asdod, lalu membina kota-kota berkubu dekat Asdod dan di kawasan orang Filistin.
7 Allah menolong Raja Uzia mengalahkan orang Filistin, orang Arab yang tinggal di Gur-Baal, dan orang Meunim.
8 Orang Amon membayar ufti kepada Raja Uzia, dan baginda menjadi sangat berkuasa sehingga namanya termasyhur sampai ke Mesir.
9 Raja Uzia membina beberapa buah menara di Pintu Gerbang Sudut, Pintu Gerbang Lembah, dan penjuru tembok untuk menguatkan kubu Yerusalem.
10 Baginda juga membina menara-menara berkubu di tanah lapang dan menggali perigi-perigi, kerana baginda mempunyai banyak ternakan di kaki bukit di sebelah barat dan di tanah rata. Raja Uzia suka akan pertanian; oleh itu baginda menggalakkan rakyat supaya mengusahakan ladang anggur di kawasan perbukitan dan mengerjakan tanah yang subur.
11 Raja Uzia mempunyai tentera besar yang sentiasa siap untuk bertempur. Mereka terdiri daripada pasukan-pasukan yang jumlahnya dicatat oleh dua orang setiausaha, iaitu Yeiel dan Maaseya, di bawah pengawasan Hananya, salah seorang pegawai raja.
12 Segenap angkatan perang itu dipimpin oleh 2,600 orang pegawai.
13 Di bawah pimpinan para pegawai itu terdapat 307,500 orang askar yang gagah perkasa, siap untuk berperang dan membantu raja melawan musuh.
14 Raja Uzia melengkapi angkatan perang itu dengan perisai, tombak, topi besi, baju zirah, busur dan panah, serta batu-batu untuk penghumban.
15 Di Yerusalem, para ahli senjatanya mencipta alat yang dapat melepaskan anak panah dan menghumban batu besar dari atas menara dan penjuru tembok kota. Raja Uzia menjadi termasyhur di merata-rata tempat, dan baginda menjadi sangat berkuasa kerana mendapat pertolongan daripada Allah.
Raja Uzia Dihukum kerana Kesombongannya
16 Selepas Raja Uzia menjadi kuat, baginda menjadi sombong; kesombongan baginda menyebabkan kejatuhannya. Raja Uzia melanggar perintah TUHAN, Allahnya kerana baginda membakar kemenyan di atas mazbah kemenyan di Rumah TUHAN.
17 Imam Azarya, bersama dengan lapan puluh orang imam yang kuat dan berani,
18 cuba mencegah raja. Mereka berkata, “Tuanku Uzia, tuanku tidak berhak membakar kemenyan untuk TUHAN. Hanya imam-imam keturunan Harun telah ditahbiskan untuk pekerjaan itu. Tinggalkanlah tempat yang suci ini. Tuanku telah bersalah terhadap TUHAN Allah dan tidak lagi diberkati oleh-Nya.” +
19 Raja Uzia sedang berdiri di sebelah mazbah kemenyan di Rumah TUHAN, sambil memegang tempat membakar kemenyan. Baginda murka kepada imam-imam itu, maka tiba-tiba sejenis penyakit kulit yang mengerikan timbul pada dahinya.
20 Azarya dan imam-imam yang lain melihat raja dan nampak penyakit kulit yang mengerikan pada dahinya. Lalu mereka mendesak raja meninggalkan Rumah TUHAN dengan segera. Raja keluar dengan tergesa-gesa, kerana TUHAN telah menghukum baginda.
21 Seumur hidupnya, Raja Uzia tidak sembuh daripada penyakit itu. Baginda diasingkan di sebuah rumah dan tidak dibenarkan masuk ke Rumah TUHAN lagi. Raja Uzia dibebaskan daripada segala tugas baginda, lalu puteranya Yotam memerintah kerajaan sebagai wakil raja.
22 Nabi Yesaya anak Amos mencatatkan segala perbuatan Raja Uzia pada masa pemerintahan baginda.
23 Raja Uzia mangkat dan dimakamkan di tanah perkuburan nenek moyangnya, tetapi kerana penyakitnya baginda tidak dimakamkan di makam diraja. Selepas itu puteranya Yotam menggantikan baginda sebagai raja. +