Daud Menyelamatkan Penduduk Kota Kehila
23
1 Pada suatu hari Daud diberitahu bahawa orang Filistin menyerang kota Kehila dan merampas biji-bijian yang baru dituai.
2 Oleh itu dia bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku pergi menyerang orang Filistin?”
“Ya,” jawab TUHAN. “Seranglah mereka dan selamatkanlah penduduk Kehila.”
3 Tetapi anak buah Daud berkata kepadanya, “Sedangkan di sini, di Yehuda, kita sudah ketakutan, apalagi kalau kita pergi ke Kehila dan menyerang orang Filistin!”
4 Oleh itu Daud bertanya lagi kepada TUHAN, dan TUHAN menjawab, “Pergilah dan seranglah kota Kehila, kerana Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap orang Filistin.”
5 Kemudian Daud dan anak buahnya pergi ke Kehila lalu menyerang orang Filistin. Mereka membunuh banyak orang Filistin dan merampas ternakan mereka. Demikianlah Daud menyelamatkan penduduk kota itu.
6 Pada masa Abyatar anak Ahimelekh lari kepada Daud, dan menyertai Daud ke Kehila, dia juga membawa efod.
7 Raja Saul diberitahu bahawa Daud sudah pergi ke Kehila, lalu Raja Saul berkata dalam hati, “Sekarang Allah telah menyerahkan Daud ke dalam tanganku. Daud sudah terperangkap kerana masuk ke dalam kota yang bertembok dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang.”
8 Oleh itu Raja Saul mengerah tenteranya dan berangkat ke Kehila untuk mengepung Daud bersama dengan semua anak buahnya.
9 Apabila Daud mendengar bahawa Raja Saul berniat untuk menyerang dia, dia berkata kepada Imam Abyatar, “Bawalah efod itu ke mari.”
10 Kemudian Daud berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, aku sudah mendengar bahawa Raja Saul bercadang datang ke Kehila dan memusnahkan kota ini kerana aku, hamba-Mu.
11 Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku kepada Raja Saul? Benarkah Raja Saul akan datang sebagaimana yang aku dengar? Ya TUHAN, Allah Israel, aku mohon, jawablah aku!”
TUHAN menjawab, “Ya, Raja Saul akan datang.”
12 Daud bertanya lagi, “Adakah penduduk Kehila akan menyerahkan aku dan anak buahku kepada Raja Saul?”
TUHAN menjawab, “Ya.”
13 Oleh itu Daud serta anak buahnya, kira-kira enam ratus orang, segera meninggalkan Kehila dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah pergi dari Kehila, baginda membatalkan rancangannya.
Daud di Kawasan Perbukitan
14 Daud bersembunyi di tempat-tempat perlindungan di perbukitan, di padang gurun Zif. Dia selalu dikejar-kejar oleh Raja Saul, tetapi TUHANy tidak menyerahkannya kepada Raja Saul.
15 Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya.
Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif.
16 Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia.
17 Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”
18 Kemudian Daud dan Yonatan mengikat janji persahabatan di hadapan TUHAN. Setelah itu Yonatan pulang ke rumahnya, sedangkan Daud tetap tinggal di Hores. +
19 Kemudian beberapa orang dari Zif menghadap Raja Saul di Gibea dan berkata, “Daud bersembunyi di dalam wilayah hamba sekalian di tempat-tempat perlindungan di Hores, di atas Bukit Hakhila, di bahagian selatan padang gurun Yehuda. +
20 Hamba semua tahu bahawa tuanku hendak menangkap dia. Oleh itu datanglah ke wilayah hamba sekalian. Hamba semua menjamin bahawa tuanku akan menangkap dia.”
21 Raja Saul bertitah, “Semoga kamu diberkati TUHAN kerana berbuat baik kepada beta.
22 Pergilah dan pastikanlah sekali lagi. Siasatlah dengan sungguh-sungguh tempat Daud berada dan siapa yang sudah nampak dia di sana. Beta mendengar bahawa dia sangat licik.
23 Periksalah dengan teliti tempat-tempat yang menjadi persembunyiannya, lalu segeralah kembali untuk melaporkan perkara itu kepada beta. Lalu beta akan pergi bersama dengan kamu. Jika dia masih berada di kawasan itu, tentu beta akan memburunya walaupun beta harus menjelajahi seluruh Yehuda.”
24 Kemudian mereka pulang ke Zif mendahului Raja Saul. Pada masa itu Daud dan anak buahnya berada di padang gurun Maon, di lembah yang sunyi di bahagian selatan padang gurun Yehuda.
25 Raja Saul dan anak buahnya datang untuk mencari Daud, tetapi orang memberitahukan hal itu kepada Daud. Lalu Daud pergi ke suatu bukit berbatu di padang gurun Maon dan tinggal di situ. Apabila Raja Saul mengetahui perkara itu, baginda segera mengejar Daud.
26 Raja Saul dan anak buahnya berjalan di pinggir satu belah gunung sedangkan Daud dan anak buahnya di pinggir belah yang lain. Daud cepat-cepat melepaskan diri daripada Raja Saul yang sudah mula mengepung mereka, dan hampir menangkap mereka.
27 Tepat pada masa itu seorang utusan datang menghadap Raja Saul dan berkata, “Tuanku, lekaslah balik! Orang Filistin sedang menyerang negeri kita!”
28 Oleh sebab itu Raja Saul berhenti mengejar Daud, lalu pergi berperang melawan orang Filistin. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Bukit Pemisahan.