TUHAN Menampakkan Diri kepada Samuel
3
Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak, sedang mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN. Pada suatu malam, Eli yang sudah sangat tua dan hampir buta, sedang tidur di biliknya. Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula.
6-7 Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.”
TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya.
10 Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!”
Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.”
11 TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan melakukan suatu perkara yang dahsyat terhadap umat Israel, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun. 12 Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala ancaman-Ku terhadap keluarga Eli, dari mula sampai akhir. 13 Aku sudah memberitahu diah bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya, kerana anak-anaknya telah menghina Aku. Eli tahu akan perbuatan mereka itu, tetapi dia tidak melarang mereka. 14 Oleh itu Aku bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa untuk selama-lamanya tiada korban atau persembahan apa pun yang akan dapat menghapuskan dosa yang dahsyat itu.”
15 Selepas itu Samuel berbaring di tempat tidurnya sampai pagi. Kemudian dia bangun lalu membuka pintu-pintu rumah TUHAN. Dia takut memberitahu Eli tentang penglihatan itu, 16 tetapi Eli memanggil dia, “Samuel, anakku!”
“Ya tuan,” sahut Samuel.
17 Eli bertanya, “Apakah yang difirmankan TUHAN kepadamu? Ceritakanlah segalanya kepadaku. Jika ada sesuatu yang engkau rahsiakan, tentu engkau akan dihukum dengan berat oleh Allah.” 18 Oleh itu Samuel menceritakan segala-galanya. Dia tidak merahsiakan apa-apa pun. Kemudian Eli berkata, “Dialah TUHAN; biarlah Dia melakukan apa yang dianggap-Nya baik.”
19 Samuel bertambah besar. TUHAN menyertai dia dan membuat segala yang dikatakan Samuel benar-benar berlaku. 20 Maka segenap umat Israel dari seluruh negeri itu mengakui bahawa Samuel ialah nabi TUHAN. 21 TUHAN terus menampakkan diri di Silo. Di situlah Dia telah menampakkan diri kepada Samuel dan berfirman kepadanya.
h 3:13 Sebuah terjemahan kuno: Aku sudah memberitahu dia. Naskhah Ibrani: Aku akan memberitahu dia.