Perkhabaran Natan dan Pertaubatan Raja Daud
12
1 Selepas itu TUHAN mengutus Nabi Natan kepada Raja Daud. Natan menghadap Raja Daud dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. +
2 Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba,
3 tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri.
4 Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.”
5 Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati!
6 Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.”
7 Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul.
8 Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi.
9 Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya!
10 Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh.
11 Aku bersumpah akan menimpa engkau dengan kesusahan yang disebabkan oleh anggota keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu sendiri, lalu Aku akan memberikan mereka kepada orang lain yang akan berseketiduran dengan mereka secara terang-terang.
12 Engkau berbuat dosa secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan membiarkan hal yang sama terjadi secara terang-terang di hadapan segenap umat Israel.’” +
13 Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.”
Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati.
14 Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.”
15 Kemudian Natan pulang ke rumahnya.
Putera Raja Daud Mangkat
Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat.
16 Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk.
17 Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka.
18 Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!”
19 Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?”
“Ya,” jawab mereka.
20 Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan.
21 Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!”
22 “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup.
23 Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.”
Salomo Lahir
24 Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu
25 dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija,v kerana TUHAN mengasihi dia.
Raja Daud Merebut Raba
(1 Taw 20.1-3)
26 Sementara itu Yoab masih bertempur untuk merebut Raba, ibu kota negeri Amon, dan dia telah hampir merebut kota itu.
27 Oleh itu dia mengirim utusan kepada Raja Daud dan melaporkan, “Hamba telah menyerang Raba dan merampas bekalan airnya.
28 Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu. Dengan demikian tidak akan dikatakan orang bahawa hamba yang merebut kota itu.”
29 Kemudian Raja Daud mengumpulkan segenap tenteranya lalu menyerang Raba. Baginda menyerbu dan mengalahkan kota itu.
30 Raja Daud mengambil mahkota raja merekaw lalu memakainya. Mahkota itu seberat kira-kira 35 kilogram dan bertatahkan permata indah. Raja Daud juga membawa banyak sekali barang jarahan dari kota itu.
31 Selain itu penduduknya digiring dan disuruh membawa gergaji, cangkul besi, kapak besi, lalu mereka dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Perkara itu dilakukannya juga kepada penduduk kota-kota Amon yang lain. Selepas itu Raja Daud dan semua tenteranya kembali ke Yerusalem.