Raja Daud Membanci Penduduk Israel dan Yehuda
(1 Taw 21.1-27)
24
1 TUHAN murka lagi kepada umat Israel, lalu Dia menyuruh Raja Daud untuk mendatangkan kesukaran kepada umat itu. TUHAN berfirman kepada Raja Daud, “Adakanlah pembancian penduduk Israel dan Yehuda.”
2 Kemudian Raja Daud memerintah Yoab, panglima perang baginda, “Pergilah bersama dengan para pahlawanmu kepada semua suku Israel di seluruh negeri untuk mengadakan pembancian. Beta ingin tahu jumlah mereka.”
3 Tetapi Yoab berkata kepada raja, “Semoga TUHAN, Allah tuanku melipatgandakan rakyat Israel sampai seratus kali daripada jumlah sekarang, dan semoga tuanku masih hidup supaya dapat melihatnya. Tetapi untuk apakah tuanku menghendaki pembancian ini?”
4 Tetapi raja tetap berpegang pada perintahnya itu. Oleh itu Yoab dan para pahlawannya pergi membanci umat Israel.
5 Setelah menyeberangi Sungai Yordan, Yoab dan anak buahnya berkhemah di sebelah selatan Aroer, sebuah kota di tengah-tengah lembah di wilayah Gad. Dari situ mereka pergi ke utara, ke Yaezer,
6 lalu terus ke Gilead dan ke Kades di wilayah orang Het. Kemudian mereka pergi ke Dan, lalu dari Dan mereka membelok ke arah barat, ke kota Saida.
7 Dari situ mereka pergi ke selatan, ke Tirus, kota yang berkubu itu. Seterusnya mereka pergi ke semua kota orang Hewi dan orang Kanaan, dan akhirnya ke Bersyeba, di bahagian selatan Yehuda.
8 Mereka menjelajahi seluruh negeri dalam masa sembilan bulan dan dua puluh hari, lalu mereka kembali ke Yerusalem.
9 Mereka memberikan laporan kepada raja tentang jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk menjadi askar: 800,000 orang di Israel dan 500,000 orang di Yehuda.
10 Tetapi setelah membanci umat itu, Raja Daud berasa bersalah. Lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, aku sangat berdosa! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.”
11-12 TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah dan katakanlah kepada Raja Daud bahawa Aku memberikan tiga pilihan kepadanya. Apa saja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Keesokan harinya, selepas Raja Daud bangun dari tidur,
13 Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tigay tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN.”
14 Raja Daud menjawab, “Beta dalam keadaan yang sangat mencemaskan! Tetapi beta tidak mahu dihukum oleh manusia. Biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kita, kerana Dia penuh belas kasihan.”
15 Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel mulai pagi hari itu sampai pada waktu yang telah ditetapkan-Nya. Sebanyak 70,000 orang meninggal di seluruh Israel.
16 Malaikat TUHAN telah sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, orang Yebusi. Ketika TUHAN nampak bahawa malaikat itu telah bersedia untuk memusnahkan Yerusalem, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum umat itu. Dia berfirman kepada malaikat yang sedang membunuh umat itu, “Cukup! Berhenti!”
17 Raja Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Akulah yang berdosa kerana aku melakukan kesalahan itu. Tetapi apakah kesalahan bangsa yang malang itu? Hukumlah aku dan keluargaku!”
18 Pada hari itu juga Gad datang menghadap Raja Daud dan berkata kepadanya, “Hendaklah tuanku naik ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, dan dirikanlah mazbah bagi TUHAN.”
19 Maka Raja Daud berangkat, menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad.
20 Arauna melihat ke bawah, lalu nampak raja serta para pegawainya naik menuju ke tempatnya. Kemudian Arauna sujud di hadapan Raja Daud,
21 lalu bertanya, “Apa maksud kedatangan tuanku?”
Raja Daud menjawab, “Untuk membeli tempat mengirik gandum kepunyaanmu, dan untuk mendirikan mazbah bagi TUHAN, supaya wabak ini berhenti.”
22 Arauna berkata, “Ambil saja tuanku, dan persembahkanlah apa saja yang dikehendaki tuanku, kepada TUHAN. Inilah lembu-lembu untuk dibakar sebagai korban di atas mazbah, dan tuanku boleh menggunakan koknya dan papan-papan tempat mengirik sebagai kayu api.”
23 Arauna memberikan semua itu kepada raja,z seraya berkata, “Kiranya TUHAN, Allah tuanku menerima persembahan tuanku.”
24 Tetapi raja menjawab, “Tidak! Beta mahu membelinya. Beta tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang beta dapat dengan percuma, kepada TUHAN, Allah beta.” Raja Daud membeli tempat mengirik gandum dan lembu-lembu itu dengan harga lima puluh keping wang perak.
25 Kemudian Raja Daud mendirikan mazbah di situ bagi TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHANa serta korban untuk memohon berkat TUHAN.b TUHAN mengabulkan doa Raja Daud, lalu wabak yang melanda Israel itu berhenti.
y 24:13 Beberapa buah terjemahan kuno (dan lihat 1 Taw 21.12): Tiga. Naskhah Ibrani: Tujuh.
z 24:23 Kemungkinan besar ertinya: kepada raja. Naskhah Ibrani: kepada raja, sang raja.
a 24:25 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN: Harfiah: Korban bakar; Lihat Kamus.
b 24:25 Korban untuk memohon berkat TUHAN: Harfiah: Korban perdamaian; Lihat Kamus.