KIDUNG AGUNG
Kata Pengantar
Kidung Agung adalah kumpulan nyanyian cinta. Sebahagian besar kitab ini merupakan nyanyian bersahut-sahutan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Dalam beberapa buah terjemahan, kitab ini diberi nama Kidung Salomo kerana dalam ayat pertama Raja Salomo disebut sebagai pengarangnya.
Nyanyian-nyanyian ini sering ditafsirkan oleh orang Yahudi sebagai hubungan antara Allah dengan umat-Nya, dan oleh umat Kristian sebagai hubungan antara Kristus dengan Jemaah-Nya.
Kandungan
Nyanyian Pertama 1.1—2.7
Nyanyian Kedua 2.8—3.5
Nyanyian Ketiga 3.6—5.1
Nyanyian Keempat 5.2—6.3
Nyanyian Kelima 6.4—8.4
Nyanyian Keenam 8.5-14
1
Nyanyian Pertama
Wanita
2 Ciumlah aku dengan bibirmu;
cintamu lebih nikmat daripada wain.
3 Engkau harum semerbak,
namamu seperti minyak wangi yang dicurahkan.
Oleh itu, gadis-gadis cinta kepadamu.
4 Cepatlah,
bawalah aku bersama-samamu,
ya rajaku, bawalah aku ke bilikmu.
Wanita-Wanita
Kami akan bersukaria kerana engkau,
dan memuji cintamu lebih daripada wain;
patutlah gadis-gadis cinta kepadamu.
Wanita
5 Hai puteri-puteri Yerusalem,
sungguhpun aku hitam tetapib aku manis;
walaupun aku hitam seperti khemah Kedar,
tetapi aku cantik seperti tirai di istana Salomo.
6 Jangan hina aku kerana kulitku hitam;
aku hitam kerana kena sinaran matahari.
Saudara-saudaraku marah terhadap aku,
dan memaksa aku bekerja di ladang anggur;
aku tiada masa menjaga diriku sendiri.
7 Katakanlah, hai kekasihku,
di manakah engkau akan menggembalakan ternakan,
di manakah domba berbaring pada tengah hari?
Mengapakah aku harus mencari engkau
antara kawanan domba kepunyaan gembala lain?
Lelaki
8 Tidakkah engkau tahu akan tempatnya,
hai wanita yang paling jelita?
Ikutlah jejak kawanan ternak,
dan gembalakanlah anak-anak kambingmu
dekat khemah para gembala.
9 Hai sayangku,
engkau laksana kuda betina
yang memberahikan
kuda jantan penarik kereta kuda
raja Mesir.
10 Pipimu molek dengan perhiasan,
lehermu cantik dengan kalung permata.
11 Kami akan membuat perhiasan emas bagimu,
perhiasan yang bertatahkan perak.
Wanita
12 Ketika rajaku di perbaringannya,
semerbak harum narwastuku.
13 Kekasihku seperti mur yang harum,
waktu dia berbaring di dadaku.
14 Kekasihku bagaikan serumpun bunga inai
di ladang anggur di En-Gedi.
Lelaki
15 Alangkah cantiknya engkau,
hai sayangku,
engkau sungguh cantik!
Matamu bagaikan mata merpati.
Wanita
16 Betapa kacaknya engkau,
hai sayangku,
engkau sungguh menarik!
Rumput hijau menjadi perbaringan kita;
17 pokok sedar menjadi tiang rumah kita, dan pokok sipres langit-langitnya.