Kewajipan terhadap Orang yang Seiman
5
1 Janganlah marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi hendaklah engkau bercakap kepadanya seolah-olah dia bapamu. Perlakukanlah orang muda seperti saudaramu,
2 dan wanita tua seperti ibu. Dengan hati yang tulus, hendaklah engkau memperlakukan wanita muda seperti adik.
3 Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri.
4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka inilah yang harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa, nenek, dan datuk. Perbuatan ini menyenangkan hati Allah.
5 Seorang balu yang benar-benar seorang diri, tanpa seseorang yang dapat memeliharanya, hanya berharap kepada Allah. Siang malam dia berdoa kepada Allah meminta pertolongan-Nya.
6 Tetapi seorang balu yang hidup berfoya-foya, dia ini sudah pun mati meskipun dia masih hidup.
7 Sampaikanlah petunjuk-petunjuk ini kepada mereka, supaya jangan sesiapa pun dapat mencela mereka.
8 Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman.
9 Seorang balu yang memenuhi syarat-syarat berikut ini boleh digolongkan ke dalam senarai balu: umurnya harus lebih daripada enam puluh tahun, hanya berkahwin sekali,j
10 dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik.
11 Jangan golongkan balu muda ke dalam senarai itu. Jika perasaan berahi mereka timbul, mereka ingin berkahwin lagi. Dengan demikian mereka meninggalkan Kristus,
12 lalu bersalah kerana memungkiri janji mereka kepada Kristus.
13 Selain daripada itu mereka suka membuang masa dengan keluar masuk rumah orang. Tetapi yang lebih buruk lagi, mereka mengumpat dan turut campur urusan orang lain serta mempercakapkan perkara-perkara yang tidak seharusnya dikatakan.
14 Oleh itu aku mahu supaya balu muda berkahwin lagi, mempunyai anak dan mengurus rumah tangga, agar musuh kita tidak berpeluang menjahatkan nama kita.
15 Hal itu demikian kerana ada balu yang sudah meninggalkan Kristus lalu mengikut Iblis.
16 Tetapi jika seorang wanita Kristian mempunyai anggota keluarga yang sudah menjadi balu, hendaklah dia memelihara mereka dan tidak membebani jemaah dengan tugas itu. Dengan demikian jemaah dapat menolong balu yang sama sekali tidak mempunyai sanak keluarga.
17 Pemimpin jemaah yang menjalankan tugas dengan baik sebagai pemimpin, layak menerima bayaran dua kali ganda, terutama sekali mereka yang rajin berkhutbah dan mengajar.
18 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,” dan juga, “Orang yang bekerja layak menerima upah.” +
19 Janganlah percaya tuduhan terhadap seorang pemimpin jemaah, kecuali tuduhan itu diperkuat oleh dua atau tiga orang saksi. +
20 Orang yang berbuat dosa harus ditegur di hadapan jemaah, supaya yang lain menjadi takut.
21 Di hadapan Allah, Kristus Yesus, dan malaikat-malaikat yang suci, aku mengarahkan engkau mentaati perintah-perintah ini tanpa prasangka terhadap sesiapa pun dan tidak berat sebelah.
22 Janganlah tergesa-gesa letakkan tangan pada seseorang untuk melantik dia sebagai hamba Tuhan. Jika orang lain berdosa, janganlah terikut-ikut. Jagalah supaya dirimu tetap murni.
23 Jangan minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain untuk menolong pencernaanmu, kerana engkau sering sakit.
24 Dosa beberapa orang sudah nyata sebelum diadili, tetapi dosa beberapa orang lain akan ketahuan kemudian.
25 Demikian juga perbuatan baik mudah dilihat dan yang tidak kelihatan pun tidak akan tetap tersembunyi.