SURAT PAULUS
KEPADA
TITUS
Kata Pengantar
Titus bukan orang Yahudi. Dia memeluk agama Kristian, lalu menjadi rakan dan penolong Paulus dalam pelayanannya. Surat Paulus kepada Titus dikirim kepada Titus yang berada di Kreta. Paulus meninggalkan dia di sana untuk mengurus jemaah di tempat itu. Ada tiga perkara yang dikemukakan Paulus di dalam suratnya.
Pertama, Paulus mengingatkan Titus tentang sifat-sifat yang patut dimiliki orang yang menjadi pemimpin jemaah. Hal itu dikemukakan, kerana banyak orang Kreta yang buruk sifat. Kedua, Paulus memberikan petunjuk kepada Titus tentang cara mengajar berbagai-bagai golongan dalam jemaah: lelaki yang tua, wanita yang tua (yang seharusnya mengajar wanita yang muda), orang muda dan abdi. Akhirnya, Paulus menasihati Titus tentang kelakuan orang Kristian. Mereka harus bersikap ramah dan suka akan kedamaian; mereka tidak membenci orang, tidak suka bertengkar, ataupun menimbulkan perpecahan di kalangan jemaah.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-4
Pemimpin-Pemimpin Jemaah 1.5-16
Tugas Berbagai-bagai Golongan dalam Jemaah 2.1-15
Nasihat dan Amaran 3.1-11
Penutup 3.12-15
1
1 Aku, Paulus menulis surat ini sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Aku dipilih dan diutus untuk meneguhkan iman umat pilihan Allah. Aku juga harus memimpin mereka supaya mengenal ajaran benara yang diajarkan oleh agama kita.
2 Ajaran itu berdasarkan harapan kita untuk menerima hidup sejati dan kekal. Allah yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman.
3 Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita.
4 Titus, dalam iman kita kepada Kristus, engkau bagaikan anakku sendiri.
Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita mengurniai engkau berkat dan kesejahteraan. +
Tugas Titus di Kreta
5 Aku meninggalkan engkau di Kreta supaya engkau dapat menyelesaikan semua perkara yang masih perlu dilakukan, dan melantik pemimpin jemaah di setiap kota. Ingatlah akan petunjuk-petunjukku ini:
6 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela; dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja;b anak-anaknya mesti percaya kepada Kristus, berkelakuan baik, dan bersifat taat.
7 Hal itu demikian kerana seorang pemimpin jemaah bertugas mengurus pekerjaan Allah. Oleh itu dia haruslah tidak bercela. Dia tidak boleh sombong ataupun cepat marah, atau pemabuk, atau suka berkelahi, ataupun tamak akan wang.
8 Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin.
9 Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu. +
10 Dia harus berbuat demikian, kerana banyak orang yang memberontak dan menipu orang lain dengan cakap karut mereka, terutama sekali orang yang dahulunya beragama Yahudi.
11 Mereka harus dihentikan menyebar ajaran sesat itu, kerana mereka merosakkan iman banyak keluarga. Perbuatan mereka itu hanya bertujuan untuk mencari wang dan hal itu sungguh memalukan.
12 Seorang nabi dari Kreta pun pernah berkata, “Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas yang rakus dan malas.”
13 Apa yang dikatakannya itu memang benar. Itulah sebabnya dengan tegas kamu mesti menegur orang yang mengajarkan ajaran sesat, supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar,
14 dan tidak lagi mengendahkan dongeng-dongeng orang Yahudi ataupun peraturan daripada orang yang tidak mahu menerima ajaran benarc itu.
15 Bagi orang yang suci, semuanya suci. Tetapi bagi orang yang fikiran mereka dicemari dosa dan tidak percaya kepada apa yang benar, tiada sesuatu pun yang suci, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar!
16 Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik.