Yerusalem dan Bangsa-Bangsa
14
1 Hampir tiba masanya TUHAN bertindak sebagai hakim. Pada masa itu Yerusalem akan dijarah orang, dan barang jarahannya akan dibahagi-bahagikan di hadapan mata kamu sendiri.
2 TUHAN akan mengumpulkan semua bangsa untuk memerangi Yerusalem. Kota itu akan direbut, rumah-rumahnya dijarah, dan kaum wanitanya dirogol. Separuh penduduknya akan dibuang negeri, tetapi yang selebihnya tidak akan dipindahkan dari kota itu.
3 Kemudian barulah TUHAN akan memerangi bangsa-bangsa itu seperti pada masa dahulu.
4 Pada masa itu, Dia akan berdiri di Bukit Zaitun di sebelah timur Yerusalem. Kemudian Bukit Zaitun akan terbelah dua oleh lembah yang luas, bermula dari timur sampai ke barat. Separuh bukit itu akan bergerak ke arah utara dan separuh lagi ke arah selatan.
5 Kamu akan melarikan diri melalui lembah yang membelah bukit itu. Kamu akan lari seperti nenek moyang kamu dahulu ketika terjadi gempa bumi pada masa pemerintahan Uzia, raja Yehuda. TUHAN, Allahku akan datang bersama dengan semua malaikat-Nya.
6 Pada masa itu, tiada lagi musim sejuk dan tiada embun yang membeku,
7 ataupun kegelapan. Hari akan sentiasa terang, bahkan pada waktu malam. Hanya TUHAN yang tahu masa perkara itu akan berlaku.
8 Pada hari itu, air yang memberikan hidup akan mengalir dari Yerusalem; separuh daripada air itu akan mengalir ke Laut Mati, dan separuh lagi ke Laut Tengah. Air itu akan mengalir sepanjang tahun, baik pada musim kemarau mahupun pada musim hujan. +
9 Kemudian TUHAN akan menjadi raja seluruh bumi. Setiap orang akan menyembah Dia sebagai Allah dan mengenal Dia dengan nama yang sama.
10 Tanah di seluruh negeri, dari kota Geba di utara sampai ke Rimon di selatan, akan menjadi rata. Yerusalem akan menjulang tinggi, lebih tinggi daripada tanah di sekitarnya; keluasan kota itu dari Pintu Gerbang Benyamin sampai ke Pintu Gerbang Sudut, iaitu tempat pintu gerbang yang dahulu, dan dari Menara Hananel sampai ke tempat pemerasan buah anggur milik raja.
11 Rakyat akan tinggal di situ dengan selamat, tidak lagi diancam kebinasaan. +
12 TUHAN akan mendatangkan penyakit yang mengerikan kepada semua bangsa yang memerangi Yerusalem. Mata dan lidah mereka, bahkan seluruh tubuh mereka akan membusuk sementara mereka masih hidup.
13 Pada masa itu TUHAN akan membuat mereka sedemikian bingung dan takut sehingga setiap orang akan menyerang dan menangkap orang di sebelahnya.
14 Penduduk Yehuda akan berjuang untuk membela Yerusalem. Mereka akan menjarah harta semua bangsa - emas, perak, dan pakaian yang banyak sekali.
15 Suatu penyakit yang dahsyat juga akan menimpa kuda, baghal, unta, dan keldai, serta semua binatang di perkhemahan musuh.
16 Kemudian semua orang dari bangsa-bangsa yang masih hidup, yang menyerang Yerusalem, akan datang ke Yerusalem setiap tahun untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun. +
17 Jika ada bangsa yang tidak mahu datang untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, hujan tidak akan turun di negeri mereka.
18 Jika bangsa Mesir tidak mahu merayakan Perayaan Pondok Daun, mereka pun akan ditimpa penyakit yang didatangkan TUHAN kepada setiap bangsa yang tidak mahu pergi beribadat.
19 Itulah hukuman yang akan dijatuhkan kepada Mesir dan semua bangsa, jika mereka tidak merayakan Perayaan Pondok Daun.
20 Pada masa itu loceng-loceng pada abah-abah kuda pun akan diukir dengan kata-kata “Ditahbiskan untuk TUHAN.” Periuk belanga di Rumah TUHAN akan menjadi suci seperti mangkuk-mangkuk yang diletakkan di hadapan mazbah.
21 Semua periuk belanga di Yerusalem dan Yehuda akan menjadi milik TUHAN Yang Maha Kuasa. Orang yang mempersembahkan korban akan menggunakan perkakas itu untuk merebus daging korban yang telah dipersembahkan. Apabila masa itu tiba, tiada lagi pedagang di Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa.