TUHAN Mengutuk Puasa yang Tidak Ikhlas
7
Pada hari keempat bulan Kislew, bulan kesembilan, dalam tahun keempat pemerintahan Raja Darius, TUHAN memberikan perkhabaran kepadaku.
Penduduk Betel telah mengutus Sarezer dan Regem-Melekh serta anak buah mereka ke Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa untuk memohon berkat TUHAN. Mereka juga disuruh bertanya kepada para imam dan nabi, “Adakah kami masih perlu meratapi kemusnahan Rumah TUHAN dengan berpuasa pada setiap bulan kelima, seperti yang telah kami lakukan selama bertahun-tahun?”
Inilah perkhabaran TUHAN yang datang kepadaku. Dia berfirman, “Beritahulah seluruh penduduk negeri ini dan para imam bahawa puasa dan ratapan yang dilakukan mereka pada bulan kelima dan ketujuh selama tujuh puluh tahun ini, bukanlah penghormatan bagi-Ku. Apabila mereka makan dan minum, perbuatan itu pun untuk keseronokan mereka sendiri.”
Itulah yang difirmankan TUHAN melalui nabi-nabi pada zaman lampau, ketika Yerusalem masih didiami dan penduduknya makmur. Pada masa itu orang bukan hanya tinggal di pekan-pekan di sekitar kota, tetapi juga di bahagian selatan dan di kaki bukit di sebelah barat.
Pemberontakan Menyebabkan Pembuangan
TUHAN memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, “Pada masa dahulu, Aku memberikan perintah ini kepada umat-Ku, ‘Kamu mesti berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama kamu. 10 Jangan tindas balu, anak yatim piatu, orang asing yang menetap di tengah-tengah kamu, atau sesiapa sahaja yang dalam keadaan susah. Jangan rancangkan perkara yang jahat terhadap sesama kamu.’
11 Tetapi umat-Ku keras kepala dan tidak mahu mendengarkan perintah-Ku; mereka menutup telinga supaya tidak mendengar. 12 Mereka mengeraskan hati sehingga tidak menurut ajaran yang telah Kuberikan kepada mereka dengan perantaraan nabi-nabi dahulu. Oleh itu Aku sangat murka. 13 Aku tidak menjawab doa mereka kerana mereka tidak mahu mendengar ketika Aku berfirman. 14 Seperti angin ribut, Aku menyelerakkan mereka sehingga mereka terpaksa tinggal di negeri asing. Tanah yang subur ini telah menjadi tandus, sunyi sepi, dan tidak berpenghuni.”