Seruan untuk Meninggalkan Dosa
2
1 Hai bangsa yang tidak tahu malu, insaflah
2 sebelum kamu diusir seperti sekam yang ditiup angin. Insaflah sebelum hari kemurkaan TUHAN tiba, dan sebelum kamu ditimpa kemarahan TUHAN yang menyala-nyala.
3 Kembalilah kepada TUHAN, hai semua orang yang rendah hati di negeri ini, iaitu orang yang mentaati perintah-Nya. Lakukanlah apa yang dikehendaki TUHAN, dan rendahkanlah dirimu di hadapan-Nya. Mungkin kamu akan terlepas daripada hukuman pada hari TUHAN menunjukkan kemurkaan-Nya.
Kutukan terhadap Bangsa-Bangsa di Sekitar Israel
4 Tiada sesiapa lagi yang tinggal di kota Gaza. Kota Askelon akan ditinggalkan. Penduduk Asdod akan diusir dalam setengah hari,d dan penduduk Ekron akan dihalau dari kota mereka.
5 Malanglah kamu, hai orang Filistin, bangsa yang tinggal di kawasan pantai. TUHAN telah menentukan hukuman bagi kamu. Dia akan membinasakan kamu, dan tiada seorang pun yang akan terselamat.
6 Tanah kamu di tepi laut akan menjadi padang rumput; gubuk gembala dan kandang domba akan dibina di situ.
7 Penduduk Yehuda yang terselamat akan menduduki tanah kamu. Mereka akan menggembalakan ternakan di situ, lalu pada malam hari mereka akan tidur di rumah-rumah di kota Askelon. TUHAN, Allah mereka akan menyertai mereka dan menjadikan mereka makmur semula. +
8 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku telah mendengar bangsa Moab dan Amon menghina serta mengejek umat-Ku. Mereka bercakap besar kerana mereka akan merampas tanah umat-Ku. +
9 Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.” +
10 Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa.
11 TUHAN akan menyebabkan mereka sangat ketakutan. Dia akan menghancurkan dewa-dewa di bumi. Kemudian semua bangsa akan beribadat kepada TUHAN, masing-masing di negeri sendiri.
12 TUHAN juga akan menjatuhkan hukuman mati kepada penduduk Etiopia. +
13 Selepas itu TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan Asyur. Kota Niniwe akan dijadikan tempat yang sunyi sepi dan gurun yang tandus.
14 Di situ ternakan dan semua jenis haiwan akan berbaring. Burung hantu akan bersarang di reruntuhan itu dan berteriak-teriak dari jendela. Burung gagake akan menggauk-gauk di ambang-ambang pintu. Kayu sedar pada bangunan-bangunan kota itu akan habis ditanggalkan.
15 Itulah yang akan terjadi pada kota yang riang gembira itu dan yang menganggap dirinya aman tenteram. Penduduknya menyangka bahawa kota mereka itulah kota yang terbesar di dunia. Betapa sepinya daerah itu, tiada penghuninya kecuali binatang hutan yang bersarang di situ! Tiap-tiap orang yang lalu di kota itu akan menghinanya dan berasa ngeri. +
d 2:4 dalam setengah hari; atau oleh suatu serangan yang mendadak pada tengah hari.
+ 2:7 Yes 14.29-31; Yer 47.1-7; Yeh 25.15-17; Yl 3.4-8; Am 1.6-8; Za 9.5-7
+ 2:8 Yes 15.1—16.14, 25.10-12; Yer 48.1—49.6; Yeh 21.28-32, 25.1-11; Am 1.13-15
+ 2:9 Kej 19.24
+ 2:12 Yes 18.1-7
e 2:14 Beberapa buah terjemahan kuno: burung gagak. Naskhah Ibrani: kemusnahan.
+ 2:15 Yes 10.5-34, 14.24-27; Nah 1.1—3.19