11
1 Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus. +
Tentang Menudung Kepala Ketika Beribadat
2 Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa mengingat aku dan mengikut ajaran yang aku berikan kepada kamu.
3 Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan Allah ialah kepala Kristus.
4 Oleh itu seorang lelaki yang menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, mempermalukan Kristus.
5 Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur.
6 Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi amat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya ataupun digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya.
7 Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala, kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki, +
8 kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki.
9 Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki. +
10 Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa.
11 Meskipun demikian, dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian, wanita bergantung kepada lelaki, dan lelaki pun bergantung kepada wanita.
12 Hal itu demikian kerana meskipun wanita dijadikan daripada lelaki, tetapi selepas itu lelaki dilahirkan oleh wanita; dan segala sesuatu berasal daripada Allah.
13 Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Allah di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala?
14 Menurut kebiasaan, kamu diajar bahawa lelaki yang berambut panjang bukanlah suatu hal yang patut.
15 Tetapi bagi seorang wanita, rambut panjang yang diberikan kepadanya adalah untuk menutupi kepalanya dan menjadi kebanggaannya.
16 Tetapi jika sesiapa mahu bertengkar tentang masalah itu, inilah satu-satunya jawapan yang dapat aku berikan: Baik kita mahupun jemaah Allah lainnya, tidak mempunyai peraturan lain.
Perjamuan Tuhan
(Mat 26.26-29; Mrk 14.22-25; Luk 22.14-20)
17 Tetapi tentang hal yang berikut ini, aku tidak memuji kamu. Pertemuan ibadat kamu sebenarnya tidak membawa kebaikan, melainkan keburukan.
18 Pertama sekali aku diberitahu bahawa dalam pertemuan kamu terdapat golongan yang berlawanan. Aku percaya bahawa sedikit sebanyak laporan itu benar. (
19 Sebenarnya tidak menghairankan jika timbul perpecahan antara kamu, supaya nyata siapa-siapa orang Kristian yang sejati.)
20 Pada waktu kamu berhimpun, sebenarnya yang kamu makan bukannya Perjamuan Tuhan.
21 Hal itu demikian kerana pada waktu makan, setiap orang berebut makanan, sehingga ada yang tidak mendapat makanan dan ada pula yang menjadi mabuk.
22 Tidakkah kamu mempunyai rumah sendiri, tempat kamu boleh makan minum? Ataukah kamu mahu menghina jemaah Allah dan mempermalukan orang miskin? Apakah yang harus aku katakan kepada kamu? Haruskah aku memuji kamu? Tentu tidak! Aku tidak memuji kamu.
23 Aku berkata demikian kerana ajaran yang aku berikan kepada kamu, aku terima daripada Tuhan: Pada malam itu ketika Tuhan Yesus dikhianati, Dia mengambil roti,
24 mengucap syukur kepada Allah, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.”
25 Begitu juga setelah habis makan, Dia mengambil cawan itu lalu berkata, “Cawan ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.” +
26 Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan, sehingga Dia datang.
27 Dengan demikian sesiapa makan roti Tuhan atau minum dari cawan-Nya dengan cara yang tidak menghormati Dia, orang itu berdosa terhadap tubuh dan darah Tuhan.
28 Oleh itu setiap orang harus memeriksa diri lebih dahulu, barulah dia boleh makan roti itu dan minum dari cawan itu.
29 Hal itu demikian, kerana sesiapa makan roti dan minum dari cawan itu dengan tidak mengerti bahawa perjamuan itu berkenaan dengan tubuh Tuhan, orang itu akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri.
30 Itulah sebabnya banyak antara kamu yang sakit dan lemah, dan ada juga yang mati.
31 Jika kita memeriksa diri kita lebih dahulu, kita tidak akan dihukum oleh Allah.
32 Tetapi jika kita diadili dan dihukum oleh Tuhan, Dia melakukannya supaya kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini.
33 Oleh itu, saudara-saudaraku, jika kamu berhimpun untuk makan Perjamuan Tuhan, kamu harus saling menunggu.
34 Jika sesiapa lapar, dia harus makan di rumah. Dengan demikian pada waktu kamu berhimpun, kamu tidak akan dihukum oleh Allah. Tentang masalah-masalah lain, aku akan menyelesaikannya apabila aku datang kelak.