Kurnia Roh Allah
12
Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu. Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa. Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, “Terkutuklah Yesus!” Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, “Yesuslah Tuhan!” kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah.
Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. 10 Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. 11 Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. +
Banyak Anggota tetapi Satu Tubuh
12 Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. + 13 Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita.
14 Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. 15 Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, “Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.” 16 Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, “Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.” 17 Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? 18 Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. 19 Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. 20 Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh.
21 Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!” 22 Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. 23 Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. 24 Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. 25 Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. 26 Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita.
27 Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu. 28 Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib. + 29 Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat, 30 atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu. 31 Oleh itu, hendaklah kamu berhasrat untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama.
Tetapi aku akan menunjukkan kamu jalan yang terbaik.
+ 12:11 Rm 12.6-8 + 12:12 Rm 12.4-5 + 12:28 Ef 4.11