Derma untuk Jemaah di Yudea
16
1 Sekarang aku hendak membincangkan wang yang hendak kamu kumpulkan untuk membantu umat Allah di Yudea. Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan-kumpulan jemaah di Galatia. +
2 Pada tiap-tiap hari Ahad, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya.
3 Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem.
4 Jika ada manfaatnya aku ikut serta, maka aku akan pergi bersama-sama mereka.
Rancangan Paulus
5 Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ. +
6 Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya.
7 Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu.
8 Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta. +
9 Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku. +
10 Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan. +
11 Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain.
12 Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakinw bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang.
Kata Akhir
13 Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan.
14 Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.
15 Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah. +
16 Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka.
17 Aku bergembira dengan kedatangan Stefanus, Fortunatus, dan Akhaikus. Ketibaan mereka itu seolah-olah ketibaan kamu sendiri, kerana aku rindu akan kamu.
18 Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu. Orang seperti itu harus dihargai.
19 Kumpulan-kumpulan jemaah di Asia menyampaikan salam mereka kepada kamu. Akwila dan Priska serta jemaah yang berkumpul di rumah mereka pun mengirim salam Kristian yang mesra. +
20 Semua saudara di sini menyampaikan salam mereka.
Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara Kristian.
21 Aku sendiri yang menulis salam ini: Salam daripada Paulus.
22 Terkutuklah orang yang tidak mengasihi Tuhan!
Maranatha - Ya Tuhan kami, datanglah!
23 Semoga Tuhan Yesus memberkati kamu.
24 Kasihku menyertai kamu semua yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.