SURAT PAULUS YANG KEDUA
KEPADA JEMAAH DI
KORINTUS
Kata Pengantar
Surat Paulus yang Kedua kepada Jemaah di Korintus ditulis ketika hubungan Paulus dengan jemaah di situ sangat rumit. Beberapa orang anggota jemaah telah menuduh Paulus dengan keras, tetapi Paulus menunjukkan keinginannya untuk berdamai. Ketika hal itu berlaku, Paulus gembira.
Dalam bahagian pertama suratnya, Paulus membincangkan hubungannya dengan jemaah di Korintus. Dia memberikan penjelasan mengapa dia mengecam tentangan dan celaan jemaah di situ terhadap dirinya. Dia menyatakan kegembiraannya bahawa sikapnya yang keras itu menghasilkan pertaubatan dan kerukunan. Setelah itu dia menggesa jemaah di Korintus supaya mengumpulkan derma untuk membantu orang Kristian di Yudea. Dalam fasal-fasal terakhir Paulus membela kedudukannya sebagai rasul. Beberapa orang di Korintus beranggapan bahawa merekalah rasul sejati, sedangkan Paulus rasul palsu.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-11
Paulus dan Jemaah di Korintus 1.12—7.16
Derma untuk Orang Kristian di Yudea 8.1—9.15
Paulus Membela Kedudukannya sebagai Rasul 10.1—13.10
Penutup 13.11-14
1
1 Surat ini daripada Paulus yang dilantik sebagai rasul Yesus Kristus menurut kehendak Allah, dan daripada saudara kita Timotius.
Surat ini ditujukan kepada jemaah Allah di Korintus, dan kepada semua umat Allah di seluruh Akhaya. +
2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Paulus Bersyukur kepada Allah
3 Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita.
4 Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.
5 Penderitaan yang dialami oleh Kristus, kami alami juga. Melalui Kristus juga, kami ditolong oleh Allah.
6 Jika kami menderita, hal itu untuk pertolongan dan penyelamatan kamu. Jika kami ditolong oleh Allah, kamu juga mendapat pertolongan sehingga kamu tabah hati dan sabar dalam menghadapi kesusahan yang seperti kami alami.
7 Oleh itu kami selalu yakin akan kamu. Kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan yang kami alami, kamu juga mendapat pertolongan seperti kami.
8 Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup. +
9 Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati.
10 Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besara itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi.
11 Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami.
Paulus Mengubah Rancangannya
12 Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasanb dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah.
13-14 Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu.
15 Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda.
16 Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea. +
17 Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata “Ya” dan sebentar “Tidak”?
18 Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.”
19 Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya Dia itu jawapan “Ya” daripada Allah, +
20 kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Allah.
21 Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri.
22 Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh AllahA di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita.
23 Allah saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu.
24 Kami tidak mahu memaksa kamu tentang apa yang harus kamu percayai, kerana kamu sungguh-sungguh percaya kepada Kristus. Kami hanya bekerjasama dengan kamu, supaya kamu semakin berbahagia.