Kali Kedua Musa Menerima Sepuluh Hukum
(Kel 34.1-10)
10
1 “Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan buatlah sebuah tabut daripada kayu untuk menyimpan batu tulis itu. Setelah itu datanglah kepada-Ku di atas gunung;
2 lalu pada batu tulis itu Aku akan menulis apa yang sudah Kutulis pada batu tulis yang engkau pecahkan itu. Kemudian simpanlah batu tulis itu di dalam tabut.’
3 Kemudian aku membuat sebuah tabut daripada kayu akasia, dan memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Aku membawa batu tulis itu ke atas gunung.
4 Pada batu tulis itu TUHAN menuliskan apa yang ditulis-Nya pada kali pertama. Dia menuliskan Sepuluh Hukum yang diberikan-Nya kepada kamu ketika Dia berfirman kepada kamu dari api, pada hari kamu berkumpul di gunung. TUHAN memberikan batu tulis itu kepadaku,
5 lalu aku turun dari gunung. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, aku meletakkan batu tulis itu di dalam tabut yang telah aku buat. Batu tulis itu disimpan di dalam tabut sejak masa itu sampai sekarang.”
(
6 Umat Israel meninggalkan perigi-perigi kepunyaan orang Yaakan, lalu pergi ke Mosera. Di Mosera, Harun meninggal dan dikebumikan, lalu Eleazer, anaknya menggantikan dia sebagai imam. +
7 Dari sana mereka pergi ke Gudgod, lalu ke Yotbata, tempat yang banyak airnya.
8 Di atas gunung,l TUHAN melantik orang daripada suku Lewi untuk menjaga Tabut Perjanjian, dan untuk mengabdi kepada-Nya sebagai imam, dan juga untuk mengucapkan berkat demi nama-Nya. Hingga sekarang suku Lewi masih menjalankan tugas itu. +
9 Itulah sebabnya suku Lewi tidak mendapat tanah seperti suku-suku lain, kerana mereka menerima hak istimewa untuk menjadi imam TUHAN seperti yang dijanjikan oleh TUHAN, Allah kamu.)
10 “Aku tinggal di atas gunung itu selama empat puluh hari dan empat puluh malam seperti kali pertama dahulu. TUHAN mendengarkan aku sekali lagi dan bersetuju tidak membinasakan kamu. +
11 Kemudian Dia menyuruh aku pergi dan menjadi pemimpin kamu, supaya kamu boleh memiliki tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu.”
Tuntutan Allah
12 “Sekarang, hai umat Israel, dengarlah tuntutan TUHAN, Allah kamu daripada kamu: Hormatilah TUHAN dan laksanakanlah segala perintah-Nya. Kasihilah Dia dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap hati;
13 patuhilah segala hukum-Nya. Aku memberikan hukum-hukum itu kepada kamu hari ini untuk kepentingan kamu.
14 Langit yang tertinggi sekalipun milik TUHAN; bumi dan segala yang ada di atasnya juga milik Dia.
15 Namun kasih TUHAN terhadap nenek moyang kamu sedemikian besar sehingga Dia memilih kamu dari antara semua bangsa, dan kamu tetap umat pilihan-Nya.
16 Oleh itu, mulai sekarang, taatlah kepada TUHAN dan jangan keras kepala lagi.
17 TUHAN, Allah kamu itu berkuasa atas semua tuhan lain dan semua kekuasaan. Dia agung dan berkuasa, dan Dia harus ditaati. Dia tidak berat sebelah dan tidak menerima rasuah. +
18 Dia memastikan agar anak yatim piatu dan balu diperlakukan dengan adil. Dia mengasihi orang asing yang tinggal bersama dengan bangsa kita; Dia memberi mereka makanan dan pakaian.
19 Oleh itu, kamu harus mengasihi orang asing tersebut kerana kamu sendiri pernah menjadi orang asing di Mesir.
20 Hormatilah TUHAN, Allah kamu, dan beribadatlah kepada Dia sahaja. Setialah kepada-Nya dan bersumpahlah demi nama-Nya sahaja.
21 Pujilah Dia kerana Dia Allah kamu, dan dengan mata sendiri, kamu sudah menyaksikan perkara-perkara besar dan mengagumkan yang dilakukan-Nya untuk kamu.
22 Ketika nenek moyang kamu pergi ke Mesir, bilangan mereka hanya tujuh puluh orang, tetapi sekarang TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit.” +