Umat Israel Tidak Taat
9
1 “Dengarlah, hai umat Israel! Pada hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan, dan menduduki tanah yang dimiliki bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. Kota-kota mereka besar, dan tembok kota-kota itu menjulang sampai ke langit.
2 Orang di situ berperawakan tinggi dan kuat; mereka itu raksasa, dan kamu sudah mendengar bahawa tiada seorang pun dapat melawan mereka.
3 Tetapi sekarang kamu akan melihat sendiri bahawa TUHAN, Allah kamu akan mendahului kamu seperti api yang menyala. Dia akan mengalahkan mereka sedang kamu bergerak maju, supaya kamu boleh mengusir dan membinasakan mereka dengan cepat, seperti yang dijanjikan-Nya.
4 Selepas TUHAN, Allah kamu mengusir mereka bagi kamu, jangan berkata kepada diri kamu sendiri bahawa Dia membawa kamu ke tanah itu untuk memilikinya kerana kamu layak. Bukan begitu! TUHAN akan mengusir bangsa-bangsa itu bagi kamu kerana mereka jahat.
5 TUHAN membenarkan kamu mengambil tanah mereka itu bukan kerana kamu baik dan melakukan yang benar. TUHAN mengusir mereka kerana mereka jahat, dan kerana Dia hendak memenuhi perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.
6 Yakinlah bahawa bukan kerana kamu layak, kamu diberikan tanah yang subur oleh TUHAN kamu. Bukan begitu! Kamu memang umat yang keras kepala.
7 Ingatlah bagaimana kamu menyebabkan TUHAN, Allah kamu murka di padang gurun. Sejak kamu meninggalkan Mesir sampai pada hari kamu tiba di sini, kamu telah memberontak terhadap-Nya.
8 Bahkan di Gunung Sinai pun kamu menyebabkan TUHAN sedemikian murka sehingga Dia mahu membinasakan kamu.
9 Aku mendaki gunung itu untuk menerima dua buah batu tulis yang ditulisi perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan kamu. Aku tinggal di sana selama empat puluh hari dan empat puluh malam, dan aku tidak makan atau minum apa-apa pun. +
10 Kemudian TUHAN memberikan dua buah batu tulis itu kepadaku. Dengan tangan-Nya sendiri Dia menulisi batu itu dengan apa yang sudah difirmankan-Nya kepada kamu dari api, ketika kamu berkumpul di kaki gunung.
11 Selepas empat puluh hari dan empat puluh malam, TUHAN memberikan dua buah batu tulis itu kepadaku. Batu tulis itu ditulisi-Nya dengan perjanjian itu.
12 Setelah itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Segeralah turun ke kaki gunung, kerana umat yang engkau pimpin keluar dari Mesir itu sudah berbuat jahat. Mereka sudah berpaling daripada perintah-Ku, dan sudah membuat sebuah berhala untuk mereka sendiri.’
13 TUHAN berfirman lagi kepadaku, ‘Aku tahu betapa degilnya umat ini.
14 Jangan cuba halang Aku. Aku bercadang untuk membinasakan mereka supaya tidak seorang pun akan ingat pada mereka lagi. Kemudian Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka.’
15 Kemudian aku turun dari gunung itu sambil membawa dua buah batu tulis yang ditulisi perjanjian itu. Api yang bernyala-nyala kelihatan di gunung itu.
16 Aku melihat betapa cepatnya kamu sudah melanggar hukum yang diberikan TUHAN, Allah kamu, dan aku melihat bahawa kamu sudah berdosa terhadap-Nya. Kamu sudah membuat sebuah berhala daripada logam untuk diri kamu sendiri, iaitu berhala yang berbentuk lembu.
17 Oleh itu, di depan mata kamu, aku membanting dua buah batu tulis itu sehingga pecah berkeping-keping.
18 Kemudian sekali lagi aku bersujud di hadapan TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, dan aku tidak makan atau minum apa-apa pun. Aku berbuat demikian kerana kamu telah berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan Dia murka.
19 Aku takut akan kemurkaan TUHAN, kerana Dia begitu murka sehingga mahu membinasakan kamu, tetapi kali ini pun TUHAN mendengarkan aku. +
20 TUHAN sangat murka kepada Harun sehingga mahu membinasakannya. Maka pada masa itu juga, aku berdoa untuk Harun.
21 Aku mengambil benda celaka yang sudah kamu buat itu, iaitu lembu daripada logam, lalu membuangnya ke dalam api. Kemudian aku memecah-mecahkannya dan menghancurkannya menjadi debu, lalu membuangnya ke dalam sungai yang mengalir dari gunung itu.
22 Pada masa kamu di Tabera, Masa, dan Kibrot-Taawa, kamu juga menyebabkan TUHAN, Allah kamu murka. +
23 Apabila Dia menyuruh kamu meninggalkan Kades-Barnea dengan perintah supaya menduduki tanah yang akan diberikan-Nya kepada kamu itu, kamu memberontak terhadap-Nya. Kamu tidak percaya dan tidak taat kepada-Nya. +
24 Sejak aku mengenal kamu, kamu sentiasa memberontak terhadap TUHAN.
25 Oleh itu aku bersujud di hadapan TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, kerana aku tahu bahawa Dia bertekad untuk membinasakan kamu.
26 Kemudian aku berdoa kepada-Nya, ‘Ya TUHAN Raja, jangan binasakan umat-Mu, yang sudah Engkau selamatkan dan bawa keluar dari Mesir dengan kekuatan dan kuasa-Mu yang besar.
27 Ingatlah akan hamba-Mu, Abraham, Ishak, dan Yakub. Jangan pedulikan kedegilan, kejahatan, dan dosa umat ini.
28 Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau tidak sanggup membawa umat-Mu ke tanah yang sudah Engkau janjikan kepada mereka. Mereka akan berkata bahawa Engkau membawa umat-Mu keluar ke padang gurun untuk membunuh mereka, kerana Engkau membenci mereka.
29 Bukankah mereka ini umat yang Engkau pilih untuk menjadi umat-Mu sendiri? Merekalah yang Engkau bawa keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar.’”