HOSEA
Kata Pengantar
Nabi Hosea tampil selepas Nabi Amos. Dia menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada orang di Israel, di kerajaan utara, pada masa kekacauan sebelum kejatuhan Samaria pada tahun 721 Sebelum Masihi. Dia sedih kerana orang Israel menyembah berhala dan tidak setia kepada Allah. Dengan terus terang Hosea menggambarkan ketidaksetiaan mereka itu berdasarkan perkahwinannya yang hancur kerana ketidaksetiaan isterinya. Sebagaimana isterinya, Gomer, tidak setia kepadanya, demikian juga umat Allah tidak setia kepada Tuhan. Oleh itu Israel akan dihukum. Namun demikian kasih Allah kepada umat-Nya tidak putus. Dia akan menyambut semula umat-Nya dan memulihkan hubungan mereka dengan Dia. Kasih Allah dinyatakan dalam kata-kata indah yang berikut: “Hai Israel Aku tidak mungkin menolak kamu. Aku tidak mungkin meninggalkan kamu...Aku tidak sampai hati berbuat demikian. Kasih-Ku bagi kamu terlalu besar.” (11.8).
Kandungan
Perkahwinan Hosea dan Keadaan Keluarganya 1.1—3.5
Tuduhan-Tuduhan TUHAN terhadap Israel 4.1—13.16
Pertaubatan dan Janji 14.1-9
1
1 Inilah perkhabaran yang diberikan TUHAN kepada Hosea anak Beeri pada masa Raja Uzia, Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia menjadi raja di Yehuda, dan Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel. +
Isteri Hosea dan Anak-anaknya
2 Ketika TUHAN berfirman kepada Israel untuk pertama kali melalui Hosea, Dia berfirman, “Kahwinlah dengan seorang perempuan yang suka melacur; dan anak-anakmu juga akan menjadi seperti dia. Umat-Ku sama seperti isterimu itu; mereka tidak setia kepada-Ku dan telah meninggalkan Aku.”
3 Oleh itu Hosea berkahwin dengan Gomer anak Diblaim. Gomer mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki.
4 TUHAN berfirman kepadanya, “Namakanlah anak itu ‘Yizreel’, kerana tidak lama lagi Aku akan menghukum raja Israel untuk membalas pembunuhan yang dilakukan nenek moyangnya, Yehu, di Yizreel.a Aku akan menamatkan pemerintahan keturunan Yehub di Israel. +
5 Pada masa itu di Lembah Yizreel, Aku akan menghancurkan kuasa tentera Israel.”
6 Kemudian Gomer mengandung lagi dan melahirkan seorang anak perempuan. TUHAN berfirman kepada Hosea, “Namakanlah anak itu ‘Tidak Dikasihani’,c sebab Aku tidak akan mengasihani atau mengampuni suku Israel lagi.
7 Tetapi Aku akan mengasihani suku Yehuda. Aku, TUHAN, Allah mereka akan menyelamatkan mereka, tetapi bukan dengan peperangan - bukan dengan pedang, atau busur dan panah, atau kuda dan penunggangnya.”
8 Selepas anak yang bernama “Tidak Dikasihani” cerai susu, Gomer mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki.
9 Lalu TUHAN berfirman kepada Hosea, “Namakanlah dia ‘Bukan Umat-Ku’,d kerana orang Israel bukan umat-Ku, dan Aku bukan Allah mereka.”
Israel Dipulihkan
10 Umat Israel akan menjadi sebanyak pasir di laut, tidak dapat dikira ataupun disukat. Sekarang Allah berfirman kepada mereka, “Kamu bukan umat-Ku,” tetapi akan tiba masanya Dia berfirman kepada mereka, “Akulah Allah yang hidup dan kamulah anak-anak-Ku.” +
11 Orang Yehuda dan orang Israel akan dipersatukan semula. Mereka akan melantik seorang pemimpin bagi bangsa mereka; sekali lagi mereka akan menjadi maju dan makmur di negeri mereka. Sesungguhnya hari Yizreele akan menjadi hari besar!
12 Oleh itu panggillah sesama kamu orang Israel, dengan nama “Umat-Ku”f dan “Dikasihani.”g
+ 1:1 2 Raj 14.23—15.7, 15.32—16.20, 18.1—20.21; 2 Taw 26.1—27.8, 28.1—32.33
a 1:4 Yizreel: Di kota itu Yehu membunuh raja Israel dan semua anggota keluarga raja. Lalu Yehu menjadi raja pertama daripada dinasti baru (lihat 2 Raj 9-10).
b 1:4 pemerintahan keturunan Yehu; atau kerajaan Israel.
+ 1:4 2 Raj 10.11
c 1:6 “Tidak Dikasihani”: Dalam bahasa Ibrani: Lo-Ruhama.
d 1:9 “Bukan Umat-Ku”: Dalam bahasa Ibrani: Lo-Ami.
+ 1:10 Rm 9.26
e 1:11 Yizreel: Dalam bahasa Ibrani nama ini bererti “Allah menabur”. Oleh itu perkataan ini merujuk kepada pertumbuhan dan kemakmuran.
f 1:12 “Umat-Ku”: Dalam bahasa Ibrani: Ami.
g 1:12 “Dikasihani”: Dalam bahasa Ibrani: Ruhama.