50
1 TUHAN berfirman,
“Jangan sangka bahawa Aku mengusir kamu umat-Ku,
seperti seorang suami menceraikan isterinya.
Jika demikian, di manakah surat cerai itu?
Adakah kamu menyangka bahawa Aku menjual kamu
seperti seorang bapa menjual anaknya kepada penagih hutang?
Tidak, kamu ditawan kerana dosa kamu;
kamu dibuang kerana kejahatan yang telah kamu lakukan.
2 Mengapakah umat-Ku tidak menyambut Aku
ketika Aku datang untuk menyelamatkan mereka?
Mengapakah mereka tidak menjawab ketika Aku memanggil?
Adakah Aku terlalu lemah untuk menyelamatkan mereka?
Dengan perintah-Ku air laut menjadi kering,
sungai-sungai menjadi padang pasir
sehingga ikan-ikan di dalamnya mati kerana tidak ada air.
3 Aku menjadikan langit gelap
seolah-olah langit sedang berkabung.”
Ketaatan Hamba TUHAN
4 TUHAN Raja telah mengajar aku tentang apa yang harus kukatakan,
supaya aku dapat menguatkan orang yang letih lesu.
Tiap-tiap pagi Dia membangkitkan keinginanku
untuk mendengar ajaran-Nya bagiku.
5 TUHAN telah memberi aku pengertian,
aku tidak memberontak atau berpaling daripada-Nya.
6 Aku memberikan belakangku kepada mereka yang memukul aku,
dan pipiku kepada orang yang mencabut janggutku.
Aku tidak memalingkan mukaku
ketika aku dihina dan diludahi. +
7 Namun hinaan mereka tidak dapat menyakiti aku,
kerana TUHAN Raja menolong aku.
Aku menguatkan hatiku supaya tabah.
Aku tahu aku tidak akan dipermalukan,
8 kerana Allah menyertai aku.
Dia akan membuktikan bahawa aku tidak bersalah.
Beranikah sesiapa menuduh aku?
Marilah kita ke pengadilan.
Biarlah dia mengajukan tuduhan.
9 TUHAN Raja sendiri membela aku;
siapakah dapat mengatakan aku bersalah?
Semua pendakwaku akan lenyap;
mereka akan lenyap seperti kain usang dimakan gegat. +
10 Hai kamu yang menghormati TUHAN
dan yang taat kepada kata-kata hamba-Nya.
Perjalanan yang kamu tempuh mungkin gelap,
tetapi percayalah kepada TUHAN,
dan bersandarlah kepada Allah kamu.
11 Hai kamu semua yang merancang untuk membinasakan orang lain,
kamu akan dibinasakan oleh rancangan kamu sendiri.
TUHAN sendiri akan menyebabkan perkara ini berlaku,
dan kamu akan menderita kesudahan yang malang.