Kata-Kata Penghiburan untuk Yerusalem
51
1 TUHAN berfirman,
“Dengarlah Aku, hai kamu yang mahu diselamatkan,
kamu yang datang kepada-Ku minta pertolongan.
Ingatlah akan bukit batu tempat kamu dipahat,
dan kuari tempat kamu digali.
2 Ingatlah akan nenek moyang kamu, Abraham,
dan Sara yang melahirkan kamu.
Ketika Aku memanggil Abraham, dia tidak mempunyai anak,
tetapi Aku memberkati dia dan memberi dia keturunan yang banyak.
3 Aku akan menghibur Yerusalem,
dan semua orang yang tinggal di runtuhannya.
Walaupun negeri itu padang gurun,
Aku akan menjadikannya sebuah taman,
seperti taman-Ku di Eden.
Penduduknya akan bersukacita dan bersukaria,
mereka akan beryanyi dan bersyukur kepada-Ku.
4 Dengarlah Aku, hai umat-Ku,
dengarlah firman-Ku:
Aku memberikan ajaran-Ku kepada bangsa-bangsa,
dan hukum-Ku akan menerangi mereka.
5 Aku akan segera datang untuk menyelamatkan mereka;
masa kemenangan-Ku hampir tiba.
Aku sendiri akan memerintah bangsa-bangsa.
Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan kedatangan-Ku;
mereka mengharapkan Aku untuk menyelamatkan mereka.
6 Pandanglah langit dan lihatlah bumi!
Langit akan lenyap seperti asap,
dan bumi akan lapuk bagaikan kain usang,
semua penduduknya akan mati seperti lalat.
Tetapi penyelamatan daripada-Ku akan kekal selama-lamanya;
kemenangan-Ku tidak akan berakhir.
7 Dengarkan Aku, hai kamu yang tahu akan hal yang benar,
kamu yang telah menyimpan ajaran-Ku dalam hati.
Jangan takut apabila orang mencela atau menghina kamu;
8 mereka akan lenyap seperti pakaian dimakan gegat!
Tetapi penyelamatan daripada-Ku akan kekal selama-lamanya;
kemenangan-Ku tetap sepanjang masa.”
9 Bangkitlah, ya TUHAN, tolonglah kami!
Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu.
Gunakanlah kuasa-Mu seperti pada zaman purba,
ketika Engkau menghancurkan Rahab,t naga laut itu.
10 Engkau juga yang mengeringkan laut,
serta menyediakan jalan di tengah-tengah air,
supaya mereka yang Engkau selamatkan dapat menyeberanginya.
11 Orang yang Engkau selamatkan akan tiba di Yerusalem dengan sukacita,
mereka akan menyanyi dan bersorak-sorai.
Mereka akan bersukacita dan bersukaria,
bebas daripada duka nestapa selama-lamanya.
12 TUHAN berfirman,
“Akulah yang menghibur kamu.
Mengapakah kamu takut terhadap manusia fana?
Manusia seperti rumput yang cepat layu.
13 Adakah kamu sudah lupa akan TUHAN Pencipta kamu,
yang membentangkan langit,
dan meletakkan asas bumi?
Mengapakah kamu sentiasa takut terhadap keganasan penindas,
yang mahu membinasakan kamu?
Keganasan mereka tidak dapat menyentuh kamu lagi.
14 Mereka yang sekarang ditawan akan segera dibebaskan;
mereka tidak akan mati dan dikubur,
dan tidak akan kekurangan makanan.
15 Akulah TUHAN, Allah kamu;
Akulah yang menggelorakan laut
sehingga ombaknya berderu.
Nama-Ku TUHAN Yang Maha Kuasa!
16 Aku membentangkanu langit,
dan meletakkan asas bumi;
Aku berfirman kepada Yerusalem, ‘Kamulah umat-Ku!
Aku telah memberi kamu ajaran-Ku
dan melindungi kamu dengan kuasa-Ku.’”
Penderitaan Yerusalem Berakhir
17 Bangunlah, hai Yerusalem!
Bangunlah dan bangkitlah!
Kamu telah mengalami hukuman TUHAN,
hukuman yang dijatuhkan kepadamu kerana kemurkaan-Nya,
sudah kamu jalani sampai selesai. +
18 Tiada sesiapa antara pendudukmu yang memimpinmu;
tiada sesiapa antara penghunimu yang menuntunmu.
19 Kamu telah ditimpa dua bencana:
negerimu dirosakkan oleh peperangan,
dan pendudukmu kelaparan.
Tiada sesiapa pun mengasihani dan menghibur kamu.
20 Di tiap-tiap sudut jalan
pendudukmu jatuh kerana lemah;
mereka seperti rusa yang terperangkap.
Mereka telah merasai akibat kemurkaan Allah.
21 Hai penduduk Yerusalem yang menderita,
kamu terhuyung-hayang seperti orang mabuk.
22 TUHAN, Allah kamu membela kamu.
Dia berfirman, “Aku akan menjauhkan hukuman
yang telah Kujatuhkan ketika Aku murka.
Kamu tidak usah lagi menderita hukuman
yang membuat kamu terhuyung-hayang.
23 Aku akan menjatuhkan hukuman itu kepada penindas kamu,
kepada mereka yang menyuruh kamu berbaring di jalan,
serta memijak-mijak kamu seolah-olah kamu ini sampah.”